Pembalakan Haram: Cadangan Denda RM1 Juta, Penjara 5 Tahun

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Kadar penalti dan hukuman bagi kesalahan pembalakan haram akan ditingkatkan kepada RM1 juta dan penjara tidak kurang daripada lima tahun apabila pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 dilaksanakan kelak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pindaan akta itu sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum rang undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Mesyuarat (Majlis Tanah Negara) telah bersetuju untuk meminda Akta Perhutanan Negara 1984 bagi memantapkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perhutanan dalam membanteras pembalakan haram dan kesalahan hutan.

“Jabatan Peguam Negara akan mengkaji jumlah denda minimum sebelum rang undang-undang itu dibentangkan ke Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-66 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Berdasarkan peruntukan asal, denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah mengambil hasil utama hutan.

Muhyiddin berkata pindaan itu diharap dapat memastikan sektor perhutananbergerak seiring dengan cabaran dan isu semasa yang mencakupi aspek-aspek pencegahan pembalakan haram, pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang lebih berkesan serta pengukuhan pembangunan sektor perhutanan negara.

Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2010 juga memberi penekanan kepada aspek memindah prinsip beban pembuktian semasa perbicaraan di mahkamah bagi kes-kes kesalahan hutan daripada pihak pendakwaan kepada pihak yang didapati memiliki hasil balak.

Dalam pindaan terkini, katanya, prinsip ‘strict liability’ kepada pesalah hutan telah digunakan di mana pihak yang disyaki bersalah perlu membuktikan pemilikan hasil hutan di mana-mana premis atau tanah sama ada di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau di luar HSK adalah hasil hutan yang sah mengikut perundangan sedia ada.

Selain itu, mesyuarat itu turut bersetuju dengan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam HSK bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) (2011-1015).

Amalan CTT bagi pengusahasilan HSK di bawah Rancangan Malaysia merupakan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pengurusan hutan secara berkekalan (SFM), kata Muhyiddin.

Justeru, katanya usaha-usaha positif yang telah dilaksanakan di bawah rancangan-rancangan Malaysia yang terdahulu wajar diteruskan oleh semua kerajaan negeri dalam RMK-10 bagi menjamin matlamat SFM dapat direalisasikan.

Muhyiddin berkata Majlis Perhutanan Negara bersetuju bahawa CTT dalam HSK di bawah RMK-10 ditetapkan seluas 199,165 hektar atau 39,833 hektar setahun bagi Semenanjung Malaysia.

CTT bagi Sabah ditetapkan seluas 300,000 hektar atau 60,000 hektar setahun dan CTT bagi Sarawak ditetapkan seluas 775,000 hektar atau 155,000 hektar setahun, katanya.

Lagi Berita