Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri DiUmum Sebelum Akhir 2010

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Penyusunan semula jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan diumumkan sebelum akhir tahun ini, kata Presiden parti, Dato’ Sri Mohd najib Tun Razak.

Ini kerana, beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memerlukan masa untuk berjumpa dan berunding dengan beberapa pemimpin di peringkat negeri.

“Ini bagi menentukan apakah tugasan dan jangkaan terhadap mereka itu dari segi apa yang patut mereka lakukan di peringkat negeri masing-masing.

“Bagilah sedikit tempoh. Insya-Allah kita umum akhir tahun ini dan tahun depan kita mulakan dengan susunan baru,” kata Najib pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Najib berkata, dengan susunan baru itu, ada yang bakal dilantik semula menjawat jawatan berkenaan dan ada juga pembaharuan dari segi kepimpinan.

Ditanya mengenai rombakan Kabinet, beliau sekali lagi menegaskan, ia hanyalah khabar angin.

“Saya kata itu semua khabar angin, nak tafsir masing-masing tafsir. Bila saya kata khabar angin, ada setengah betul ada setengah tak betul. Terpulang pada tafsiran masing-masing,” jelasnya.

Mengulas kesediaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum, beliau berkata : “Beliau akan maklumkan nanti cadangan itu kepada saya.”

Dalam perkembangan lain, menurut Perdana Menteri, kenaikan sebanyak 15 sen harga petrol RON97 bermula esok adalah mengikut harga pasaran dunia dan bukannya ditentukan oleh kerajaan.

“Berdasarkan harga pasaran dunia, ada kalanya naik, ada kalanya turun,” jelas beliau.

Lagi Berita