Tangguh Pemilihan UMNO Bukan Untuk Pilihanraya

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti yang dijadual tahun depan bukannya petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun depan seperti yang diramal sesetengah pihak.

“Ia bukan bertujuan untuk pilihan raya tetapi untuk kukuhkan parti supaya setiap ahli parti tidak lagi berfikir hendak bertanding untuk jawatan (kerana) pergerakan di bawah mencaturkan politik boleh membawa kesan kepada kekukuhan parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-66 di Parlimen hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO  berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti mempunyai kemungkinan negara bakal menghadapi pilihan raya mengejut yang diandaikan bakal berlaku awal tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi mengumumkan bahawa parti itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual diadakan antara awal dan akhir tahun depan selama 18 bulan untuk memantapkan parti.

Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata keputusan itu tidak melanggar perlembagaan parti kerana ia telah tiga kali dibuat sebelum ini.

Katanya perlembagaan UMNO mempunyai peruntukan yang membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga 18 bulan tetapi perlu mengadakannya sebelum tempoh 18 bulan itu tamat.

Muhyiddin berkata perkara itu perlu diputuskan sekarang bagi mengelak akar umbi parti meneruskan persediaan untuk menghadapi proses pemilihan yang boleh membawa kesan kepada kedudukan parti.

“Kalau ikut prosedur biasa, cawangan akan mula bersidang seawal Januari dan membuat pencalonan sekiranya pemilihan berlaku tahun depan. Kalau ada pemilihan, maka akan adalah kempen dan sebagainya, dan ini boleh memberi kesan kepada kedudukan parti,” katanya.

Menurutnya sebelum ini pemilihan parti biasanya diadakan selepas pilihan raya.

“Tetapi pada masa depan, saya tidak tahu,” katanya.

Lagi Berita