Anwar Terpaksa Umpan Jawatan TPM Untuk Jinakkan DAP

KUALA LUMPUR, 2 Nov –  Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjinakkan DAP dengan mengumpan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada pemimpin parti terbabit bagi memastikan sokongan pengundi Cina tidak beralih arah.

Demikian menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berhubung kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berikrar untuk melantik  Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pilihanraya umum akan datang.

Jelas beliau Anwar terpaksa berbuat demikian setelah menyedari orang Melayu ketika ini sudah langsung tidak yakin dengan perjuangannya apatah lagi dengan pelbagai kemelut yang melanda PKR.

“Anwar akan sanggup lakukan apa saja  untuk pastikan agenda peribadinya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.

“Dia tahu bahawa hari ini orang Melayu sudah langsung tidak yakin dengan perjuangannya dan dia mula sedar bahawa gelombang kepercayaan orang Cina kepada pimpinan Datuk Seri Najib sudah mula terasa maka dia terpaksa menjinakkan DAP untuk terus kekal bersamanya”, kata beliau.

Malah beliau juga yakin dengan tindakan Anwar yang menawarkan janji tersebut telah mengkhianati rakan pakatannya sendiri iaitu parti Pas.

“Kita yakin bukan saja penyokong Pas sudah tidak lagi menyokong Anwar malahan kebanyakan pemimpin Pas  sudah tidak lagi percaya dengan pimpinan Anwar dan akan meninggalkan pakatan rakyat dalam masa yang terdekat”, ujarnya.

Pada masa yang sama kata beliau lagi dengan pelbagai tindakan songsang Anwar dan PKR juga telah membuat rakyat semakin memahami arah tuju perjuangan sebenar PKR.

“Hari ini rakyat boleh menilai perjuangan PKR yang cakap tak serupa bikin. Kononnya menuntut demokrasi tapi apabila berlaku pemilihan parti, Anwar adalah diktator sebenarnya.

“Menuduh SPR tapi kini PKR terbukti menipu undi seperti mana yang diakui oleh Anwar dalam ucapan penggulungannya.  Justeru saya ingin mengajak semua reformis dalam PKR ayuh kita bangun dan bersatu supaya Malaysia tercinta terselemat dan terus berdaulat”, katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita