Kerajaan Pusat Terus Bela Rakyat Dari Penindasan Kerajaan DAP Pulau Pinang

PULAU PINANG, 2 Dis – Ketua UMNO Balik Pulau,  Datuk Seri Dr. Haji Hilmi Haji Yahaya berkata UMNO khususnya kerajaan pusat akan terus membela rakyat walaupun wujud penindasan secara halus kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap rakyat di negeri itu.

Sambil menyatakan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan DAP itu, beliau percaya rakyat boleh membuat penilaian apakah kerajaan negeri yang ada sekarang benar-benar mengamalkan pentadbiran telus, bersih dan adil.

“Walaupun Pulau Pinang kini di bawah pemerintahan DAP, tetapi kerajaan pusat sentiasa membantu bagi membela nasib rakyat khususnya orang Melayu di Pulau Pinang.

“Jika dilihat, pembinaan rumah teres dan pangsapuri tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Rata-rata seunit rumah ditawarkan lebih daripada RM300,000. Harga yang terlalu tinggi ini bukan sahaja menyebabkan orang Melayu tidak mampu membelinya malah bangsa lain turut tidak mempunyai kemampuan.

“Mahu tidak mahu kita terpaksa berusaha sendiri untuk membina rumah mampu milik. Alhamdulillah, Kerajaan Pusat banyak membantu,” katanya.

Mengenai semakin ramai orang Melayu yang berhijrah ke negeri lain akibat tekanan demi tekanan yang dilakukan kerajaan DAP, beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memastikan perkara itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

“Kita tidak akan biarkan begitu saja tindakan rakus kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Di bahagian Balik Pulau sendiri, kita tidak pernah gentar dengan DAP. Kita akan terus berjuang membela nasib rakyat…. bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi rakyat secara keseluruhannya”, ujar beliau. -MediaUMNO

Lagi Berita