Kalau Ikhlas Serah Jawatan Ketua Pembangkang Pada DAP

BERUAS, 3 Dis –  Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim  hari ini dicabar untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang selepas parti diterajuinya hilang enam kerusi yang dimenangi sejak pilihan raya umum Mac 2008.

Ketika membuat cabaran itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata Anwar dilantik menjadi Ketua Pembangkang selepas PKR memperoleh 30 kerusi parlimen semasa plihan raya umum itu manakala rakan sekutunya DAP mendapat 29 manakala Pas dengan kemenangan 23 kerusi dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu kerusi.

“Pada masa itu, PKR mempunyai majoriti yang lebih dan wajarlah beliau selaku Penasihat PKR menjadi ketua…tetapi kini parti itu hanya mempunyai 24 kerusi selepas lima Anggota Parlimennya meninggalkan parti dan kehilangan satu kerusi di Hulu Selangor.

“Pakatan itu sepatutnya kini diterajui Lim Kit Siang dan Anwar hendaklah menyerahkan jawatan itu secepat mungkin bagi menunjukkan keikhlasannya kepada pakatan PKR-DAP-Pas tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ceramah perdana Juara Rakyat UMNO Bahagian Beruas di Dewan Kampung Banjar di sini, hari ini.

Jelasnya lagi dengan cara itu sahaja Anwar boleh menunjukkan keihklasannya, adil dan setia kepada perjuangan.

“…kalau dia benar-benar ikhlas dalam perjuangannya berikanlah jawatan itu kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang”, ujarnya.

“…kalau dia benar-benar ikhlas dalam perjuangannya berikanlah jawatan itu kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang”

Justeru beliau berpendapat kenyataan Anwar yang akan melantik Lim sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya berkuasa adalah helah politik semata-mata

Sementara itu beliau turut memberitahu Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan untuk meneruskan Program Juara Rakyat tahun depan dengan memasukkan slot Ceramah Perdana sebagai penambaikan kepada program tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar pekeliling kepada kesemua 191 Ketua Penerangan Bahagian dengan salinan kepada Ketua Bahagian agar meneruskan program itu dibahagian masing-masing dengan kekerapan dua atau tiga kali sebulan dan memasukkan ceramah tersebut sebagai nilai tambah kepada program berkenaan.

“Kita juga meminta sekurang-kurangnya tiga penceramah bercakap pada majlis tersebut iaitu seorang penceramah dari pusat, seorang dari negeri dan seorang dari bahagian tersebut.

“Buku panduan ceramah, kaedah Juara Rakyat serta butiran yang akan diucapkan juga telah disediakan bagi memastikan program tersebut berjalan lancar. Ceramah akan berkisar kepada Gagasan IMalaysia, dasar-dasar kerajaan serta sedikit sebanyak mengenai pembangkang,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi serta pemimpin parti komponen juga kata beliau lagi  diminta membiasakan diri sebagai penceramah di dalam setiap program yang diadakan di peringkat bahagian.

Jelasnya, program itu bukanlah sebagai isyarat kepada pilihan raya umum yang akan datang tetapi dianggap sebagai persediaan awal Barisan Nasional (BN) untuk bersiap sedia menghadapinya.

“Ini adalah sesi memanaskan badan serta membiasakan pemimpin untuk bercakap panjang. Selama ini banyak pihak mendakwa UMNO telah lesu dan tidak mempunyai peruntukan untuk mengadakan program tetapi dengan adanya Juara Rakyat ia jelas menunjukkan UMNO telah kembali semula,” katanya.

“Ini adalah sesi memanaskan badan serta membiasakan pemimpin untuk bercakap panjang. Selama ini banyak pihak mendakwa UMNO telah lesu dan tidak mempunyai peruntukan untuk mengadakan program tetapi dengan adanya Juara Rakyat ia jelas menunjukkan UMNO telah kembali semula,”

Tambahnya, setiap bahagian juga diminta menjemput semua rakyat untuk mengunjungi program itu serta lokasinya hendaklah berubah-ubah ke setiap kawasan di dalam bahagian untuk menjangkaui 18 kawasan di dalam setiap bahagian dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 program Juara Rakyat telah diadakan di seluruh negara sejak dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari tahun ini.

“Program yang akan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang merangkumi bidang ekonomi, sosial, pendidikan, belia dan sebagainya supaya UMNO dilihat lebih semarak dan bertenaga”, ujarnya.

Lagi Berita