Lucut Jawatan Anwar Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor – GAPS

SHAH ALAM, 3 Dis. – Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mencadangkan agar kerajaan negeri melucutkan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar Ibrahim kerana beliau sebagai pemimpin utama parti politik yang mencanangkan agar perkataan ‘Melayu’ digadaikan dalam perjuangan politik mereka, ujar Pengerusi GAPS, Hamizun Khairuddin.

Anwar patut dilucut kerana jawatan tersebut hanya sekadar mengukuhkan kedudukan politik beliau, bahkan tidak menyumbang apa-apa kemajuan negeri Selangor yang telah sedia maju dan makmur selama ini.

“Kita juga mencadangkan agar Anwar diharamkan menjejakkan kaki ke bumi Selangor, kerana beliau merupakan virus yang menjadi dalang yang menyemai kebencian dan cemburu sesetengah pihak terhadap kemajuan dan perpaduan umat Melayu. Beliau juga menjadi dalang yang memecahkan keutuhan persahabatan dan perpaduan umat Melayu selama ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga dinasihatkan agar mengawal dan mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pimpinan negeri yang mempersoal perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang tubuh negeri Selangor, sama ada di pentas pentadbiran mahupun di gelanggang politik,” ujarnya kepada pemberita sejurus  menyerahkan memorandum kepada wakil Sultan Selangor di Istana Kayangan sebentar tadi.

Dalam masa yang sama, GAPS turut mencadangkan agar melucut dan menarik balik selain tidak mempertimbangkan sebarang anugerah bintang, darjah kebesaran atau gelaran terhadap mereka yang menerajui dan bersekongkol dengan parti politik yang mengadaikan perkataan ‘Melayu’.

“Kita juga menasihatkan kerajaan negeri agar mengurangkan politicking dalam pentadbiran dan pemerintahan, mengutamakan kepentingan rakyat khususnya orang Melayu dalam pemerintahan dan menyelesaikan pelbagai isu rakyat dalam pelbagai bidang termasuk isu pembangunan dan isu bekalan air di Selangor ini.

Dalam masa yang sama, kita berharap agar Sultan Selangor terus memberikan titah yang boleh menimbulkan kesedaran kepada semua pihak agar tidak bertindak di luar batasan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri yang boleh menganggu gugat keharmonian antara kaum, kestabilan politik dan sosioekonomi serta pembangunan Negara dan negeri Selangor khususnya,” ujarnya.

GAPS yang ditubuhkan dua bulan yang lepas, merupakan gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Belia Selangor, Perkasa Selangor, Gerakan Belia 4B Selangor, GPMS Selangor, Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS).

Kira-kira 2,000 orang menyertai perarakan menghantar memorandum tersebut kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan selepas Solat Jumaat sebentar tadi. -MediaUMNO

Lagi Berita