Zahid Cabar Pas Nyata Pendirian Anwar Mahu Kit Siang TPM

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Pas dicabar menerima pendirian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pelantikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menjadikannya sebagai satu dasar parti itu jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pas perlu berani membuat keputusan itu jika pendiriannya sama seperti Mursyidul Am parti tersebut yang bersetuju dengan cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Kit Siang ke jawatan berkenaan.

“Kalau Pas berani terima fatwa politik Nik Abdul Aziz itu, mereka perlu menjadikannya sebagai dasar parti kerana kita mahu melihat reaksi orang Melayu secara keseluruhannya termasuk ahli Pas sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini hari ini

Menurut Ahmad Zahid, jika Pas tidak berani menyahut cabaran berkenaan, seluruh ahli dan pucuk pimpinan parti itu harus menentang pandangan Nik Abdul Aziz kerana jika kenyataan sebegitu dibiarkan, ia akan menimbulkan pelbagai tafsiran yang tidak menguntungkan khususnya di kalangan orang Melayu.

“Sebelum ini saya dengar Anwar turut tawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan juga beberapa tokoh lain. Saya fikir kalau Anwar menjadi Perdana Menteri, mungkin ada lima timbalan beliau.

Mengenai desakan pelbagai pihak supaya Majlis Raja-Raja Melayu menarik balik gelaran Datuk Seri kepada Anwar ekoran tindakannya ‘memerangi’ konsep ketuanan Melayu, Ahmad Zahid berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada kebijaksanaan sultan sendiri.

Lagi Berita