BN Janji Berubah Penuhi Kehendak Rakyat

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengakui kelemahan dan berjanji akan memperbaiki diri serta bergerak mengikut peredaran zaman seperti yang dikehendaki rakyat secara keseluruhan demi kemakmuran dan kemajuan negara.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Muhkriz Tun Mahathir berkata, BN perlu berubah kerana rakyat sekarang amat peka dengan suasana politik lebih-lebih lagi selepas pilihanraya umum 2008 lalu.

“Jika BN terus menutup mata dan terus tidak berubah, maka rakyat akan mengambil tindakan mengubah kerajaan pada pilihanraya umum yang akan datang.

Kita sudah mulakan proses perubahan ini, dan rakyat sudah mula kembali memberi keyakinan dan kepercayaan kepada kita (BN). Jadi kita tidak akan sia-siakan sokongan ini,” katanya kepada media selepas ucapan Pengerusi pada Konvensyen BN di Wisma MCA sebentar tadi.

Tambahnya, ucapan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan ucapan menyeluruh dan meliputi segala aspek yang perlu dititik beratkan oleh setiap parti komponen BN.

Katanya, Pengerusi telah mengingatkan semua ahli BN agar mengingati tujuan asal penubuhan Perikatan dan kemudiannya BN yang berteraskan perpaduan.

“Kalau tidak kerana perpaduan yang sedia wujud dalam Perikatan dan BN, tidak mungkin kita dapat majukan negara ini dan melonjakkan ekonomi sehingga tahap yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.

Mukhriz turut membidas Pakatan Rakyat (PR) yang wujud berteraskan retorik semata-mata dan bukannya perpaduan.

“Sebenarnya PR tidak mengamalkan perpaduan yang kononnya mereka perjuangkan dan pakatan ini adalah rapuh. Sebenarnya BN sudah lakukan sejak dahulu lagi dan hari ini kita buktikan perpaduan kita.

“Tengok sahaja ketika pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, mereka langsung tidak hormat asas-asas demokrasi sekaligus menghina ahli-ahli mereka dan menipu rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai pembersihan parti, Mukhriz menegaskan terdapat pelbagai cara untuk melakukannya dan yang paling penting, setiap komponen BN perlu tahu kelemahan diri sendiri -MediaUMNO

Lagi Berita