Briged Sukarelawan Bantu Mangsa Bencana Alam – Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Kementerian Pertahanan bercadang menubuhkan pasukan Briged Sukarelawan 1 Mindef bagi membantu mangsa bencana alam di negara ini, kata menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata anggota bagi pasukan itu akan terdiri daripada anggota Askar Wataniah, pelatih Program Latihan Khidmat Negara dan ahli Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan.

“Dengan tertubuhnya pasukan ini ianya dapat membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana alam antaranya seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

“Dengan adanya pasukan ini juga, ia dapat memupuk sikap yang lebih proaktif di kalangan kakitangan Mindef (Kementerian Pertahanan) dan mewujudkan nilai-nilai murni, tolong-menolong kepada masyarakat serta dapat memberi kepuasan secara peribadi,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 2,000 kakitangan bersama Timbalan Menteri Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Arkib Negara Dr Samsiah Muhammad.

Sempena sambutan Maal Hijrah esok, Ahmad Zahid turut mengingatkan kakitangan
kementeriannya supaya melakukan perubahan daripada pelbagai aspek termasuk tingkah laku, pemikiran dan penampilan diri kepada yang lebih baik.

“Apabila berlakunya perubahan, sesuatu yang lebih baik akan berlaku kepada kita dan ianya akan menyebabkan hati kita sentiasa merasa tenang,” katanya.

Pada perhimpunan itu, Dr Samsiah turut menyampaikan sijil penghargaan program Koleksi Rakyat Merdeka 1 Malaysia kepada Dr Ismail.

Lagi Berita