Kerajaan Pertimbang Hakim Syarie Wanita Hakimi Kes Perkahwinan, Perceraian

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Kerajaan sedang meneliti peraturan pelantikan Hakim Mahkamah Syariah wanita bagi membolehkan mereka mengadili kes-kes berhubung perkahwinan dan perceraian, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bagaimanapun usaha itu memerlukan kerjasama daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) kerana mereka mempunyai peraturan lantikan dan kekangan masing-masing berhubung perkara itu.

Beliau berkata proses untuk hakim syarie wanita menghakimi kes tertentu sudah termaktub dalam enakmen negeri dan peraturan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

“Apapun usaha ke arah memberi ruang lebih luas termasuk dalam lingkungan dibenarkan syariah dan mengikut pandangan ulama sedang diusahakan tetapi tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata. Kita perlukan sokongan dan kebenaran MAIN dan JAIN untuk memastikan hakim syarie wanita diberi ruang yang lebih luas,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) pada sesi soal jawab di Parlimen, di sini.

Jamil Khir berkata kerajaan amat prihatin terhadap kaum wanita dan pelantikan dua hakim tersebut dilakukan atas hasrat murni untuk melihat wanita berada di Mahkamah Syariah.

“Sebab itu bukan setakat hakim wanita sahaja, semalam pun dah beri anugerah Maal Hijrah kepada wanita, kedua-duanya pertama kali dalam sejarah. Namun kita memahami setiap negeri mempunyai peraturan pelantikan masing-masing dan kekangan yang termaktub dalam peraturan itu,” jelasnya.

Lagi Berita