Khir Toyo Serah Surat Letak Jawatan Sebagai Ketua Pembangkang

SHAH ALAM, 8 Dis – Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang menghadapi kes mahkamah berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, hari ini menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Surat peletakan jawatan itu dihantar melalui faksimile kepada Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Menurut seorang pegawai Dr Mohamad Khir, surat itu dihantar kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Dalam surat kepada Speaker berkenaan, Dr Mohamad Khir menyatakan bahawa nama penggantinya akan dimaklumkan oleh Barisan Nasional (BN) Selangor tidak lama lagi.

Dr Mohamad Khir yang juga Anggota Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Selangor turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan DUN yang memberi bantuan dan sokongan kepadanya sepanjang menjalankan tugas sebagai Ketua Pembangkang.

Isnin lepas, Dr Mohamad Khir, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1 L, Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikatnya Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Dr Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007.

Beliau juga diikat jamin sebanyak RM750,000 dengan seorang penjamin.

Shamsuddin, 45 juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada hari itu atas tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir melakukan kesalahan tersebut pada 29 Mei, 2007.

Dr Mohamad Khir menjadi Menteri Besar Selangor ke-13 menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008.

Lagi Berita