Linda Bahas Buat Kali Pertama

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Dulunya hanya seorang suri rumah tetapibhari ini Datin Linda Tsen membuktikan kemampuannya sebagai anggota Parlimen kawasan Batu Sapi di Sabah apabila beliau berbahas buat kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Linda yang menang pilihan raya kecil kawasan itu 4 Nov lepas mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana memberi kepercayaan terhadapnya untuk menjadi calon BN.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian suaminya yang menyandang kerusi itu, Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.

Linda juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Jospeh Paririn Kitingan.

“Dengan kerjasama serta sokongan semua pihak, saya telah memperoleh majoriti dua kali ganda daripada sebelum ini. Saya bertekad untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh mendiang suami dan bekerja lebih gigih agar kepercayaan rakyat terhadap BN akan terus terpelihara,” katanya.

Beliau yang bangun untuk membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat Jawatankuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi meminta agar kementerian tidak meminggirkan Sabah dalam program berkaitan sains dan teknologi.

Linda turut mencadangkan penubuhan sebuah lagi pusat sains di negeri itu selain dua pusat sains yang sedia ada di Semenanjung.

Ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran sains dan teknologi di kalangan rakyat khususnya generasi muda di negara ini. Negeri Sabah dan Sarawak amat memerlukan kemudahan seperti ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi tenaga alternatif atau tenaga hijau seperti solar, angin, ombak dan biomass dilakukan untuk dimanfaatkan di Sabah.

Lagi Berita