Pemuda Tolak Calon Hanya Pandai Mengampu

PULAU PINANG 7 Dis. – Calon Pergerakan Pemuda UMNO untuk pilihan raya umum akan datang perlu terdiri dalam kalangan mereka yang diterima rakyat serta mempunyai kemahiran, bukan individu yang hanya tahu mengampu.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin memberitahu, calon berpotensi yang sedang dikenal pasti juga tidak semestinya memegang jawatan tinggi atau perlu mengikut hierarki tetapi yang mampu ‘mencuit’ hati rakyat.

“Pemuda kini sedang mengenal pasti calon yang kita boleh ketengahkan dan orang itu bukan hanya tahu mengampu Khairy Jamaluddin sahaja. Kita sedang cari mereka betul-betul bekerja dan mempunyai keperibadian yang boleh diterima rakyat.

“Pemuda kini sedang mengenal pasti calon yang kita boleh ketengahkan dan orang itu bukan hanya tahu mengampu Khairy Jamaluddin sahaja. Kita sedang cari mereka betul-betul bekerja dan mempunyai keperibadian yang boleh diterima rakyat.

“Antara sifatnya merendah diri, senang bergaul dengan semua lapisan masyarakat dan ada intelek selain tahu mengaplikasi laman-laman sosial seperti Facebook kerana itu antara cara untuk raih sokongan orang muda,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa satu mekanisme khusus akan diwujudkan Barisan Nasional (BN) dalam pemilihan calon bagi menggantikan pemilihan dibuat parti komponen atau presiden sebelum ini.

Khairy ditemui selepas merasmikan Majlis Berkhatan Perdana Parlimen Bukit Gelugor yang disertai 103 kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 12 tahun di Perumahan Kastam Bukit Gelugor.

Program tersebut adalah anjuran Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, UMNO Cawangan Taman Tun, Persatuan Penduduk Perumahan Kastam Bukit Gelugor dengan kerjasama Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO Malaysia.

Pergerakan Pemuda UMNO yang memperkenalkan Program Khatan Perdana baru-baru ini menyasarkan 3,500 kanak-kanak menyertai program itu pada musim cuti persekolahan ini.

Khairy berkata, setakat hari ini, kira-kira 900 kanak-kanak telah dikhatankan secara percuma melalui program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO itu yang dilancarkan di Johor awal bulan ini.

“Sasaran 3,500 kanak-kanak menyertai program ini diyakini mampu dicapai dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Katanya, Bukit Gelugor merupakan lokasi kelima majlis berkhatan secara percuma itu diadakan untuk kanak-kanak yang mahu berkhatan beramai-ramai.

Lagi Berita