Rela Bukan Untuk Hadapi Demonstrasi Jalanan

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) tidak dipersiapkan untuk menghadapi demonstrasi jalanan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebaliknya, beliau berkata aspek utama Rela adalah untuk membantu mengurangkan jenayah seperti yang digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Pada masa ini seramai 3,663 anggota Rela telah diserapkan untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan itu,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Abdul Ghapur dalam soalannya ingin tahu mengapa anggota Rela tidak diberi kebenaran untuk membantu kerajaan dalam menghadapi demonstrasi jalanan dan mengapa kurangnya penglibatan Rela dalam menjamin keselamatan rakyat terutama di luar bandar.

Hishammuddin berkata pendekatan merentasi agensi dan kementerian adalah penting supaya semua kemahiran dan kemampuan yang ada dapat diguna sepenuhnya untuk mengurangkan jenayah di kawasan luar bandar.

“Apa yang penting adalah latihan yang diperlukan (oleh Rela dan pasukan keselamatan lain) untuk capai tujuan itu,” katanya.

Lagi Berita