Tiada Niat Singgung Perasaan Bukan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau langsung tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana kaum di negara ini ketika memaklumkan jumlah anggota bukan Bumiputera dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada persidangan Dewan Rakyat 9 Nov lepas.

Ahmad Zahid yang bangun membuat penjelasan itu selepas sesi soal jawab di Parlimen berkata beliau juga tidak berhajat langsung untuk mempertikai semangat patriotisme di kalangan bukan Bumiputera di negara ini.

“Sejarah telah membuktikan ramai wira-wira negara berjuang menentang penjajah dan melawan pengganas komunis adalah terdiri daripada kaum Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Sikh dan lain-lain berkorban untuk kemerdekaan negara ini.

“Saya berasa amat dukacita sekiranya jawapan saya di Dewan yang amat mulia ini pada 9 Nov lalu telah menyinggung mana-mana kaum,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membuat penjelasan itu selepas timbulnya rasa tidak puas hati oleh anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran yang mengatakan bukan sifat patriotisme yang menyebabkan tidak ramai golongan bukan Bumiputera menyertai ATM, sebaliknya kerana kekurangan maklumat dan promosi.

Ahmad Zahid kemudiannya meminta pemimpin parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan persatuan belia untuk sama-sama berusaha menggalakkan penyertaan lebih ramai kaum bukan Bumiputera dalam ATM untuk
menjayakan gagasan 1Malaysia.

Lagi Berita