Anwar Usah Jual Temberang, Patut Malu Dengan Khir Toyo

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya malu dan perlu mencontohi Datuk Seri Dr Khir Toyo yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berikutan berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berpendapat perkara yang sama perlu dilakukan Anwar Ibrahim yang bukan sahaja berdepan dengan kes liwatnya malah parti diterajuinya turut hilang enam kerusi yang dimenangi sejak pilihan raya umum Mac 2008.

“Patutnya Anwar berasa malu dengan tindakan Dr Khir ini.  Soal benar atau salah itu perkara kedua yang akan ditentukan menerusi keadilan di mahkamah.

“Tapi dari sudut tanggungjawab moral Anwar patut letak jawatan sebagai ketua pembangkang di parlimen”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Tegas beliau lagi Anwar dilantik menjadi Ketua Pembangkang selepas PKR memperoleh 30 kerusi parlimen semasa plihan raya umum itu manakala rakan sekutunya DAP mendapat 29 manakala Pas dengan kemenangan 23 kerusi dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu kerusi.

“Pada masa itu, PKR mempunyai majoriti yang lebih dan wajarlah beliau selaku Penasihat PKR menjadi ketua…tetapi kini parti itu hanya mempunyai 24 kerusi selepas lima Anggota Parlimennya meninggalkan parti dan kehilangan satu kerusi di Hulu Selangor.

“Pakatan itu sepatutnya kini diterajui Lim Kit Siang dan Anwar hendaklah menyerahkan jawatan itu secepat mungkin bagi menunjukkan keikhlasannya kepada pakatan PKR-DAP-Pas tersebut,” ujarnya.

Dalam keadaan ini kata beliau lagi janji Anwar untuk melantik Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pun ternyata satu temberang semata-mata.

“Usah cakap pasal nak lantik Kit Siang sebagai TPM, masa dia (Anwar) tak cukup kerusi pun dia tak nak tolak ansur dan berlaku adil.

“Anwar ni temberang saja lebih kononnya adil dan demokratik.  Dalam hal ini (letak jawatan Ketua Pembangkang) pun dia putar belit dan rakyat boleh nilai wajah sebenar Anwar”, katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita