Dakwa Khir Toyo Bukan Sandiwara – Najib

PUTRAJAYA, 9 Dis – Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan pembangkang kononnya tindakan mendakwa Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berhubung tuduhan rasuah adalah sandiwara Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk membersihkan imejnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri berkata BN dan Umno tidak pernah menjadikan kes itu sebagai satu “mainan” kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah meneliti kes berkenaan sebelum mendakwa bekas Menteri Besar Selangor itu.

“Ini satu perkara yang telah diteliti semasak-masaknya oleh SPRM, dan SPRM sebagai badan yang bebas, (telah) kemukakan (kes ini) kepada Pejabat Peguam Negara.

“Pejabat Peguam Negara bagi pihak yang bebas juga (akan) menentukan sama ada
(terdapat) kes atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
menandatangani ikrar memerangi rasuah oleh masyarakat peniaga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Najib diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tindakan mendakwa Dr Mohamad Khir hanya sebahagian daripada sandiwara Umno untuk membersihkan imej parti itu di mata rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

Mohamad Khir, 45, didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikat itu, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Najib berkata Pejabat Peguam Negara telah mengikut proses yang sepatutnya dilakukan dalam pendakwaan terhadap Mohamad Khir dan terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“Kita tidak boleh kata sesiapa itu bersalah atau pun tidak melainkan mahkamah sahaja yang menentukan kemudian hari,” katanya.

Perdana Menteri berkata tanggapan pembangkang kononnya perkara itu adalah sandiwara BN dan Umno adalah kerana mereka menjadikan kes itu sebagai isu politik.

“Jadi bila (dijadikan) isu politik, dia hendak kenakan pihak kerajaan seolah-olah kita ini tidak serius atau pun kita (cuba) cover up (lindungi) atau pun kita buat selective prosecution (pendakwaan terpilih) atau sebagainya,” katanya.

Ditanya siapa yang bakal menggantikan Khir sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Najib berkata perkara itu belum diputuskan kerana beliau belum melihat surat peletakan jawatan bekas Menteri Besar Selangor itu.

Lagi Berita