Ekuiti Bumiputera Dalam Sektor Korporat Belum Capai 30 Peratus

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Jumlah pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat masih belum mencapai sasaran 30 peratus, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany berkata jumlah pemilikan itu bagaimana pun meningkat daripada 19.4 peratus pada 2006 kepada 21.9 peratus pada 2008.

Katanya penyertaan guna tenaga Bumiputera dalam kategori pekerjaan pengurusan dan profesional juga telah mencatatkan peningkatan, khususnya dalam lapan bidang kerjaya utama.

“Sebagai contoh, bilangan arkitek Bumiputera telah meningkat daripada 45.3 peratus pada 2005 kepada 60 peratus pada 2008, juruukur daripada 48.2 peratus kepada 55.1 peratus dan doktor daripada 38.1 peratus kepada 53 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mahu tahu tentang statistik pencapaian ekonomi golongan Bumiputera dan Melayu di negara ini.

Devamany berkata kerajaan sedang berusaha membangunkan satu indikator komprehensif untuk mengukur pencapaian Bumiputera dalam bidang ekonomi yang akan dijadikan rujukan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pembangunan negara.

“Bagaimanapun, para usahawan serta kontraktor Bumiputera tidak boleh terus bergantung kepada bantuan kerajaan tetapi perlu mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan keupayaan sendiri dan bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Lagi Berita