Ketuanan Melayu: Jangan Cetus Polemik Sia-Sia

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu ketuanan Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu tidak perlu dipolitikkan sehingga mencetus polemik yang sia-sia.

Ia kerana kata beliau, dua perkara itu boleh diibaratkan sebagai akar kepada pembentukan Malaysia yang tidak mungkin dapat diubah.

Beliau berkata, raja-raja Melayu menyuarakan kebimbangan mereka mengenai nasib orang Melayu dan hak keistimewaan mereka kerana prihatin terhadap isu yang ditimbulkan itu.

Selain itu, katanya, raja-raja Melayu juga mula bersuara untuk mengingatkan sesetengah pemimpin Melayu yang angkuh sehingga lupa, asas negara Malaysia yang ada pada hari ini adalah Tanah Melayu.

“Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu diikuti pembentukan Malaysia termasuk perlembagaan adalah perkenan daripada raja-raja Melayu.

“Jadi parti-parti politik pembangkang perlu berpijak pada bumi yang nyata dan mendukung perkara pokok yang telah termaktub dalam perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bahawa orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan bangsa majoriti itu di negara ini, adalah perbuatan menghina dan menderhaka kepada bangsa sendiri.

Nada yang sama turut dititahkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihak pembangkang perlu menerima hakikat bahawa keharmonian yang sedia ada perlu dipelihara dengan menghormati semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan ketuanan Melayu adalah berasaskan sejarah tanah air dan bukan seperti yang diterjemahkan oleh kedua-dua pemimpin pembangkang itu.

Sehubungan itu, Nazri secara terbuka hari ini mempersoalkan sekiranya Anwar dan Wan Azizah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apakah gelaran yang dipanggil oleh mereka kepada baginda.

”Saya ingin tahu, Wan Azizah dan termasuk Anwar, adakah akan gelar ‘Sharafuddin’ sahaja ke, ‘Mr. Sultan’ ke, atau ‘brother’, Adakah itu antara gelaran mereka untuk tuanku? Sudah semestinya mereka akan panggil ‘tuanku’ bukan?

”Kita sebagai rakyat, sememangnya harus menggelarkan sultan sebagai tuanku, kerana itulah yang dimaksudkan dengan ketuanan Melayu, ia merupakan peraturan pemerintahan dalam tanah Melayu dan tidak ada kena mengena dengan ‘Malay Supremacy’,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laman blog Nayagankini dan Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Malaysia di sini hari ini.

Lagi Berita