Langkawi Perlu Dorongan Baru Destinasi Pelancongan – PM

LANGKAWI, 8 Dis – Langkawi perlu mempunyai satu dorongan baru sebagai sebahagian daripada pelan untuk muncul sebagai destinasi pelancongan yang ulung di dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata sejak setahun lalu beliau telah berbincang dengan beberapa pihak terutama Khazanah Nasional Berhad berhubung proses pembangunan semula Langkawi dalam usaha memenuhi impian mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

” Kita mahu pembangunan baru. Oleh itu, kita perlu dorongan baru. Konsep pembangunan perlu mengekalkan habitat dan situasi semulajadi yang ada sekarang di sekitar pulau ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pelan Pembangunan pusat peranginan Teluk Datai di sini, hari ini.

Turut hadir Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar.

Najib berkata proses pembangunan juga perlu menghasilkan nilai kepada negara seperti usaha sama dengan syarikat-syarikat tempatan memandangkan pelancongan merupakan sektor utama yang mahu diberi penekanan oleh kerajaan.

“Fasa pembangunan bukan hanya untuk Teluk Datai sahaja tetapi untuk Langkawi secara keseluruhannya. Banyak orang berkata Langkawi telah ketinggalan selepas era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata majlis hari ini merupakan pengumuman mengenai projek empat dalam satu dengan pembangunan villa membabitkan 14 unit sebagai projek utama.

” Keduanya, adalah bagi membina hotel baru, 300 bilik hotel. Ketiga, untuk meningkatkan pasaran hotel lima bintang kepada enam bintang. Dan akhir sekali, ialah pembangunan semula padang golf Datai kepada standard antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pelan pembangunan ini merupakan perkongsian yang baik antara syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi menghasilkan nilai kepada projek itu dan negara.

Projek pembangunan itu membabitkan anggaran pelaburan RM1 bilion di Teluk Datai melalui Teluk Datai Resorts Sdn Bhd, satu usaha sama antara Khazanah Nasional dan juga pengasas-pengasas asal melalui Archipelago Hotels (East) Sdn Bhd.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, Teluk Datai Resorts telah menjadikan Sekolah Kebangsaan Ewa sebagai anak angkat di bawah program PINTAR. Sekolah itu merupakan satu daripada sekolah-sekolah di Langkawi dengan kebanyakan kakitangan Teluk Datai Resorts menghantar anak mereka bersekolah di situ.

Lagi Berita