Pakatan Pembangkang Hanya Mahu Main Politik Air Di Selangor

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Semuanya mengenai politik apabila membabitkan isu penstrukturan air Selangor yang telah berlarutan sejak beberapa bulan lepas.

Di Selangor, kerajaan yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil masa terlalu lama untuk meluluskan kenaikan tarif air seperti yang dipohon oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Ahad lepas, kerajaan negeri membawa penyokongnya berdemonstrasi untuk menyerahkan satu memorandum ke Istana Negara memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam isu penstrukturan industri bekalan air Selangor.

Tetapi dua negeri di utara yang ditadbir oleh sekutu PKR – DAP di Pulau Pinang dan Pas di Kedah telah menaikkan kadar tarif air pada tahun ini, walaupun mereka berikrar tidak akan membebankan rakyat.

Sebuah syarikat penyelidikan, AmResearch pada Isnin lepas menyatakan perkembangan terkini di mana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum itu ke Istana Negara Ahad lepas, menunjukkan bahawa faktor politik adalah punca utama kebuntuan dalam penstrukturan tersebut.

Sehubungan itu, adalah tidak memeranjatkan apabila syarikat penyelidikan itu menyatakan bahawa kebuntuan berkaitan rundingan industri air Selangor disebabkan  hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kerana Selangor menekankan hak-hak sumber airnya yang kini di bawah Syabas, dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Walaupun kerajaan persekutuan, menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang dalam kenyataannya tiga hari lepas menyatakan bahawa ia tidak pernah melarang kerajaan Selangor daripada mengambil alih bukan hanya Syabas tetapi semua syarikat konsesi air di negeri itu.

Empat syarikat konsesi itu ialah Syabas, Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS.

Salah satu perkara utama yang digunakan kerajaan Selangor ialah negeri itu mahukan sumber air di bawah pentadbirannya kerana tidak mahu kenaikan tarif air akan membebankan rakyat.

Bagaimanapun, sesetengah penyokong Barisan Nasional (BN) mempertikaikan bahawa negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Pembangkang seperti Pulau Pinang dan Kedah juga menaikkan tarif airnya pada tahap yang lebih tinggi daripada di  Selangor.

Tetapi ini tidak dibantah oleh para penyokong parti-parti berkenaan.

“Apabila Pulau Pinang dan Kedah mengumumkan pada akhir September lepas bahawa tarif air akan dinaikkan untuk kedua-dua negeri, anggota parti berkenaan tidak pernah membantah sungguhpun sesetengah persatuan dan individu membantah,” kata Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang.

Beliau berkata Pulau Pinang mendakwa bahawa tindakannya itu akan hanya menjejaskan pengguna dagangan dan begitu juga Kedah.

Pengguna dagangan di Pulau Pinang membayar lebih 27 peratus untuk air sementara Kedah mengenakan kenaikan antara 10 sen dan RM1.20 bagi satu 1,000 liter – atau purata kenaikan 27 peratus – untuk kegunaan domestik, komersil dan industri.

Kadar baru di Kedah berkuatkuasa 1 Okt sementara di Pulau Pinang, tarif baru bermula pada 1 Nov.

Selain itu, Tan berkata Pulau Pinang telah mengenakan surcaj pemuliharaan 24 sen bagi 1,000 liter untuk pengguna domestik yang menggunakan lebih 35,000 liter air berkuatkuasa pada 1 Nov.

“Apabila kedua-dua negeri ini menaikkan tarifnya, ia tidak menganjurkan demonstrasi bantahan dan para pemimpin mereka mengatakan kenaikan telah lama tidak diadakan. Bagaimanapun, apabila ia berkaitan Selangor, mereka katakan ini tidak boleh…kenaikan terlalu tinggi. Kenapa ini berlaku?” katanya.

Pada hakikatnya, beliau berkata langkah kerajaan Pulau Pinang mengenakan surcaj tarif air akan membebankan kumpulan berpendapatan rendah, khasnya mereka yang mempunyai isi rumah yang ramai dan ini bertentangan dengan rangka kerja dasar bersama (CPF) Pakatan Pembangkang yang diumumkan pada Disember tahun lepas.

Mengikut perenggan H CPF, Pakatan Pembangkang berikrar untuk menyedia dan menjaga infrastruktur awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan.

Pakatan pembangkang berikrar kepada rakyat bahawa pelaksanaannya janganlah membebankan rakyat dan ia menjamin untuk membekalkan air bersih dengan kadar yang munasabah kepada setiap keluarga di Malaysia,” kata beliau.

Sehubungan itu, Tan berkata kerajaan Pakatan Pembangkang mengenakan surcaj 24 sen bagi 1,000 liter untuk pengguna domestik yang menggunakan lebih 35,000 liter air sebulan.

“Ini jelas gagal untuk mengambil kira jumlah setiap isi rumah yang berbeza kerana purata penggunaan 35,000 liter adalah jangkaan berdasarkan lima orang bagi setiap rumah.

“Bagaimana pula keluarga yang besar dengan 10 anggota dan lebih? Surcaj itu adalah tidak munasabah kepada mereka, khasnya mereka yang dalam kumpulan berpendapatan rendah,” kata beliau.

Tan berkata ia janganlah satu langkah yang tergesa-gesa dengan beban yang tidak wajar kepada mana-mana peringkat rakyat.

“Jika tidak, ia boleh dianggap semata-mata satu percubaan untuk menaikkan tarif air dengan berpura-pura ia untuk mengelakkan pembaziran air,” tambah Tan.

Lagi Berita