PM: Bantuan Banjir Tanpa Kira Fahaman Politik

ALOR SETAR, 9 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mengeluarkan arahan supaya semua mangsa banjir diberikan bantuan tanpa mengira fahaman politik.

“Saya telah sampaikan arahan kita mesti beri bantuan kepada semua mangsa banjir…jangan pilih bulu yang biru ke yang hijau ke asal dia mangsa banjir, kerajaan pusat tetap beri bantuan.

Saya pegang pada prinsip kita berlaku adil…kita doakan Tuhan buka hati mereka untuk mengenang budi kerajaan,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan Tilam 1Malaysia kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Mohamad Isa Sabu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung dan Timbalan Menteri Pertanian Datuk Wira Mohd Johari Baharom.

Pada majlis itu Najib memohon maaf kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis baru-baru ini kerana tidak dapat melawat mereka akibat mengidap demam campak tetapi menghantar wakil peribadi bagi membantu menyalur bantuan.

“Orang kata banjir berlaku disebabkan pembangunan. Jika tiada pembangunan kita akan mundur dan menjadi miskin. Kerajaan tetap melaksanakan pembangunan tetapi memberi penekanan supaya tidak sampai menjejaskan alam sekitar.

Kita berniat baik terhadap hak rakyat dan tidak akan korbankan prinsip perjuangan ini dan berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan tekanan hidup mangsa-mangsa banjir,” kata Najib.

Menurut Perdana Menteri setiap keluarga mangsa banjir juga akan menerima RM500 di samping bantuan makanan dan kelengkapan lain.

Katanya bantuan diberikan kepada kumpulan pertama iaitu yang tinggal di pusat pemindahan dan kumpulan kedua bagi yang tidak tinggal di tempat pemindahan tetapi rumah mereka dinaiki air.

Selain tilam, Najib turut menyampaikan 5,000 dapur kepada wakil mangsa-mangsa banjir untuk diagihkan kepada mereka yang layak menerimanya pada majlis itu.

Selepas banjir melanda kedua-dua negeri itu bulan lepas, Putra Umno telah mengagihkan 10,000 tilam dan 5,000 dapur kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Mengenai bantuan tilam itu, Najib memuji pihak-pihak yang memberi sumbangan
terutama pengerusi Kelab Putra Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang berusaha
menyediakannya.

“Dalam sejarah 34 tahun dalam politik inilah kali pertama saya sampaikan tilam, tidak pernah sekali seumur hidup sampai begini banyak…bukan sedikit, 10,000 tilam bersusun-susun.

Saya nak ucap terima kasih kepada Datuk Azeez…lepas ini kita gelar dia Datuk Azeez tilam,” kata Najib secara berseloroh yang mendapat tepukan lebih 5,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Lagi Berita