Tukar Ketuanan Kepada Kedaulatan Boleh Elak Salah Erti

KUALA  LUMPUR 8 Dis. –Menukarkan sebutan ketuanan kepada kedaulatan Melayu itu lebih tepat kerana maksudnya lebih meluas, di samping dapat membendung salah erti perkataan itu berikutan ada segelintir pemimpin politik pembangkang yang sengaja menggunakan perkataan itu untuk meraih simpati di kalangan bukan Melayu.

Ketua Puteri UMNO Melaka, Mas Ermieyati Shamsudin berkata kedaulatan Melayu mencakupi makna lebih melaus seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor dalam memastikan hak keistimewaan orang Melayu dan Raja-raja Melayu terus dipertahankan.

“Ketuanan dan kedaulatan itu mempunyai maksud serta pemahaman yang berbeza, perkataan ketuanan Melayu jika disalah ertikan boleh membawa maksud yang berlentangan dengan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Negara.

“Sejak kebelakangan ini, ramai pemimpin pembangkang yang menyalah gunakan perkataan ketuanan Melayu, mereka mempolitikkan perkataan itu sehingga menimbulkan rasa tidak senang terutama di kalangan bukan Melayu.

“Apa yang menyedihkan, pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang mempolitikkannya, mereka ini boleh dianggap penderhaka, mereka sendiri yang memperdagangkan nasib orang Melayu, nasib bangsa mereka sendiri demi kepentingan politik, kalau bukan Melayu yang bercakap mungkin boleh kita terima, bagaimanapun perkara ini tidak boleh dibincangkan kerana sudah termaktub dalam perlembagaan,” katanya kepada umno-online.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan orang Melayu supaya bermuhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu berdasarkan keadaan semasa berikutan  terdapat orang Melayu yang mahu menolak kedaulatan kaum tersebut seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Menurut  baginda, ramai rakyat yang tidak memahami atau sudah salah tafsir maksud sebenar ketuanan Melayu atau lebih dikenali kedaulatan Melayu yang mencakupi kedudukan raja-raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini dan bukannya soal antara ‘tuan’ dan ‘hamba’.

Mas Ermieyati yang juga ecxo Puteri UMNO menyifatkan mereka yang menyanggah atau menolak ketuanan Melayu boleh dibaratkan sebagai rakyat yang tidak memahami erti Perlembagaan Negara yang menjadi tunjang kepada kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Apa lagi yang ingin kita persoalkan mengenai perkara itu, semua itu digubal berdasarkan kepada persetujuan semua pemimpin terdahulu. Mereka itu mewakili semua kaum  di negara ini dan perkara itu sudah diguna pakai sejak dahulu sehingga kini.

“Hanya sejak kebelakangan ini, perkara ini dibangkitkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi,  sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memanupulasi  serti ketuanan Melayu,” katanya.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, perkara yang sudah menjadi perlembagaan tidak perlu dipertikaikan secara terbuka. MediaUMNO

Lagi Berita