Anwar Liabiliti Pas, Penyokong “Totok“ Mula Merungut

KUALA LUMPUR,10 Dis – “Anwar Ibrahim Liabiliti Kepada Pas“….Perkataan ini cukup popular dan seringkali bermain di kalangan penyokong Pas di peringkat akar umbi khususnya mereka yang “totok“ dengan ideologi penubuhan sebuah negara Islam.

Malah terdapat juga dakwaan yang menyebut terdapatnya beberapa kumpulan di dalam kepimpinan Pas itu  sendiri yang mula sangsi dan ragu-ragu dengan hala tuju mereka hari ini yang semakin terikut-ikut dengan gaya kepimpinan DAP dan PKR.

Mengulas senario berkenaan, Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Afandi Yusof berkata hakikat berkenaan ada kebenarannya kerana Anwar dan kuncu-kuncunya tidak ikhlas untuk bersahabat dengan parti berkenaan.

Sebaliknya tegas beliau, Pas hanyalah sekadar batu loncatan untuk Anwar dan puak-puaknya mendapat sokongan rakyat sekaligus merealisasikan impian Anwar untuk bergelar orang nombor satu negara jika diizinkan Allah s.w.t pada masa akan datang.

“Saya setuju dengan perkara itu kerana pertembungan pendapat di kalangan kepimpinan Pas cukup kronik kerana terdapat satu puak yang bersetuju dan “totok“ dengan Anwar, manakala terdapat kumpulan lain yang hanya mahu menjadikan Anwar sebagai alat untuk mendapat sokongan.

“Manakala terdapat puak lain pula yang mahu Pas terus istiqamah dengan prinsip perjuangan mereka untuk menubuhkan negara Islam dan tidak bergantung harap dengan Anwar serta rakan pakatan pembangkang yang lain,“ katanya.

Beliau yang juga Ketua PemudaRantau Panjang seterusnya menasihatkan kepimpinan Pas agar bermuhasabah dan tidak terjerat dengan perangkap yang sentiasa menanti mereka di dalam pakatan pembangkang.

Tegas beliau jerat berkenaan hanya menunggu masa untuk memerangkap mereka dan pada waktu ini ianya masih belum terlambat untuk diperbaiki dengan mengelakkan diri daripada jerat berkenaan.

“Anwar Ibrahim bakal memusnahkan mereka dan bukannya memusnahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti. Jika perkara ini menjadi kebimbangan, takkan timbul rungutan di akar umbi selain wujudnya beberapa kumpulan di dalam parti berkenaan. Bukankah Ahli Parlimen Kulim, Zulkifli Nordin pernah mendedahkan perkara ini,“ katanya.

Zulkifli Noordin sebelum ini pernah meminta Pas supaya segera mengambil tindakan ke atas pemimpin serta ahli parti itu yang cenderung ‘menyembah’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai Anwarinas.

Katanya, golongan Anwarinas merupakan ‘makhluk perosak’ dalam Pas yang hanya akan menyebabkan kejatuhan parti itu pada masa depan.

Secara sinikal jelasnya, golongan Anwarinas tidak ‘memandang’ Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin mereka sebaliknya mengangkat Anwar sebagai ketua.

Lagi Berita