Kena “Boo”, Mesej Rakyat Meluat Pakatan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 10 Dis – “Jangan salahkan orang lain, sebenarnya rakyat dah meluat dengan cara pentadbiran pakatan pembangkang di negeri ini yang cakap tak serupa bikin.  Ini mungkin mesej yang ingin disampaikan rakyat”.

Demikian pendapat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Johan Aziz berhubung insiden cemuhan dan pekikan ‘boo’ oleh peserta ketika ucapan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada Persidangan Agung Perwakilan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia ke-36 di Dewan Politeknik Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah di Shah Alam semalam.

Keadaan luar jangka itu berlaku apabila teks ucapan Abdul Khalid yang dibacakan oleh Exco, Yaakob Sapari menyentuh hak orang Melayu, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) serta cadangan agar peruntukan ahli Parlimen diberikan sama rata tanpa mengira latar belakang politik.

Sambil menafikan perkara itu dirancang, Datuk Johan yang turut berada pada majlis tersebut berkata insiden itu berlaku secara spontan.

“Kalau nak ikut cakap pembangkang, basikal tayar pancit pun disalahkan UMNO.  Bagi saya ini signal rakyat yang merasakan diri mereka tertipu dengan janji kosong pakatan pembangkang.

“Kita pun sebenarnya tak sokong cara luahan seumpama itu.  Budaya mencemuh pemimpin bukan budaya yang diamalkan kita tapi selalu dilakukan pembangkang.  Tapi inilah luahan hati rakyat yang sudah cukup meluat dengan gaya politik pembangkang”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat seterusnya berkata terlalu banyak ketempangan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang membuatkan rakyat mula bangkit untuk mempertahankan hak mereka.

“Rakyat bukan mudah nak diperbodohkan.  Usah main politik sempit kerana rakyat berpegang kepada janji dan mempunyai hak untuk menuntutnya”, ujar beliau.

Mengenai tuduhan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengiktiraf Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) hingga mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), beliau berkata ini berpunca daripada tindakan kerajaan negeri sendiri.

“Siapa yang tidak iktiraf…siapa yang dulu menukar JKKK yang sedia ada.  Cermin diri dulu sebelum buat tuduhan.

“Apa yang penting JKKKP telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik bagi memastikan urusan pembangunan  projek telah memenuhi keperluan sebenar, malah wang tersebut adalah daripada Kerajaan Persekutuan. Jadi apa masalahnya”, soal beliau.

Justeru beliau berharap agar kerajaan pakatan pembangkang berhenti dari mengamalkan pendekatan politik mencari kesalahan orang lain. -MediaUMNO

Lagi Berita