Klinik 1Malaysia Beri 7.5 Juta Penduduk Pedalaman Rawatan Kesihatan Percuma – PM

GOPENG 9 Dis. – Kira-kira 7.5 juta atau 25 peratus penduduk negara ini yang tinggal di kawasan pedalaman bakal mendapat perkhidmatan dan rawatan kesihatan percuma apabila klinik bergerak 1Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, buat permulaan, konsep tersebut akan dilaksanakan di empat negeri bermula di Perak diikuti oleh Pahang, Selangor dan Johor.

”Mengikut perkiraan, sebanyak 75 peratus penduduk dalam negara berada dalam lingkungan lima kilometer dari pusat-pusat kesihatan, bererti masih terdapat 25 peratus lagi rakyat Malaysia yang tinggal berjauhan dari sebarang pusat kesihatan.

”Mereka ini tidak mendapat rawatan penjagaan kesihatan seperti mana yang tinggal berdekatan pusat kesihatan. Oleh itu, cara dan kaedah terbaik ialah melalui konsep klinik bergerak ini,” katanya.

Beliau berucap melancarkan Klinik Bergerak 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Pos Raya, Simpang Pulai di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Najib berkata, jika konsep itu berjaya, kerajaan bersedia menambah perkhidmatan melalui pengenalan klinik bergerak menggunakan bot.

Menurut beliau, berdasarkan perancangan, klinik bergerak 1Malaysia menggunakan bot tersebut bakal merentasi sungai-sungai memasuki kawasan pedalaman Sarawak dan ia akan dimulakan di Baram, awal tahun depan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan berusaha mewujudkan lebih banyak klinik bergerak bagi memastikan setiap rakyat terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman di seluruh negara turut mendapat rawatan kesihatan.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 171 pasukan unit klinik kesihatan bergerak membabitkan perkhidmatan melalui udara, darat dan air telah berjaya diwujudkan.

Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 klinik kesihatan bergerak beroperasi di Semenanjung, 13 (Sabah) manakala 98 lagi di Sarawak yang memberi perkhidmatan kepada penduduk di 1,461 buah kampung.

”Dengan adanya program ini, maka, konsep klinik bergerak ini akan diperluaskan lagi meliputi kampung-kampung yang sebelum ini tidak mendapat rawatan kesihatan,” kata beliau.

Najib berkata, kerajaan memberikan penekanan terhadap penjagaan kesihatan kerana ia merupakan antara dua aspek penting, selain pendidikan untuk melahirkan rakyat yang produktif serta berkualiti.

”Sekiranya kita ada sistem pendidikan yang berkualiti tetapi rakyat tidak sihat, tidak akan jadi apa. Sebab itu, kerajaan hendak tambah baik segala bantuan penjagaan kesihatan yang dapat kita lakukan,” katanya.

Menurut beliau, klinik bergerak 1Malaysia merupakan program cantuman perkongsian bersama antara Kementerian Kesihatan dengan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimiliki oleh kerajaan.

Kata Perdana Menteri, melalui perkongsian itu, Yayasan 1MDB membekalkan bas manakala doktor, jururawat serta segala kemudahan perubatan dan peralatan pula disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, katanya, program Klinik 1Malaysia yang dilancarkan tahun ini sebagai contoh telah berjaya memberikan rawatan kepada 1.2 juta pesakit sejak Januari lepas.

Sehingga ini, sebanyak 51 buah klinik 1Malaysia telah dibuka dan sebanyak 50 buah lagi akan dibuka pada tahun depan, katanya.

Dalam ucapannya itu juga, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tujuan menyediakan bekalan elektrik dan pembinaan jambatan di kampung Orang Asli, Pos Raya yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

Lagi Berita