Manfaatkan Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda

KUALA KRAI, 10 Dis – Masyarakat di semua peringkat tidak mengira fahaman politik dan warna kulit disaran memanfaatkan sepenuhnya  kewujudan Sekretariat Hal  Ehwal Bandar (Sheb) Pemuda UMNO dalam membela nasib mereka  yang memerlukan.

Pengerusi Sheb Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata sehingga hari ini peranan sekretariat itu masih terhad kepada beberapa golongan sahaja kerana  masyarakat beranggapan Sheb ditubuhkan khas untuk membantu pengundi UMNO semata-mata.

Menurut beliau sejak penubuhan sekretariat berkenaan kira-kira  dua tahun yang lalu nasib ramai penduduk di seluruh negara  dapat dibela dengan baik selain turut mengadakan beberapa program untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Pelbagao bantuan dan program kebajikan kita telah laksanakan.Bagaimanapun jika dilihat dari sudut latar belakang, kebanyakan mereka adalah pengundi UMNO.

“Justeru Sheb mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa Sheb bukan sekadar  untuk orang UMNO tetapi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik selaras dengan konsep 1Malaysia,” katanya kepada pemberita pada  Program Khatan Perdana anjuran Sheb di Sekolah Kebangsaan Kuala Krai di sini hari ini.

Beliau berkata Sheb sentiasa berusaha memperluaskan peranannya bagi  memastikan bantuan dapat diberikan secara menyeluruh dan berterusan kepada seluruh rakyat di negara ini.

“Bermula tahun hadapan pihak kita akan melaksanakan pendekatan secara lebih  agresif melalui kempen dan sebagainya bagi menarik lebih ramai masyarakat bandar tampil menyuarakan permasalahan mereka dan menolak perbezaan fahaman politik masing-masing demi mendapatkan pembelaan sewajarnya,” katanya.

Mengenai majlis khatan perdana itu Tengku Azman berkata ianya merupakan  program khas secara percuma anjuran Sheb sempena musim cuti sekolah.  Beliau berkata kehadiran Sheb ke kawasan pedalaman Kelantan itu bagi  menunaikan janji Sheb untuk membantu golongan miskin di Kuala Krai ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai sebelum ini.

Katanya sebanyak 14 buah lokasi di seluruh negara terutama di bandar akan dilawati bagi melaksanakan program secara percuma itu. Sehingga kini tujuh lokasi telah dikunjungi dengan seramai 1,278 orang

kanak-kanak telah selamat dikhatankan manakala pada program hari ini pula,  seramai 138 kanak-kanak di daerah Kuala Krai telah selamat dikhatankan.       “Sasaran kita ialah seramai 3,000 kanak-kanak dari 14 lokasi itu akan dikhatankan,” kata Tengku Azman.

Berkonsepkan ‘Membela dan Membawa Suara Masyarakat Bandar’, Sheb sehingga  kini telah membantu hampir 10,000 penduduk di seluruh negara yang menghadapi pelbagai masalah terutama membabitkan kebajikan, kemasyarakatan dan pendidikan.

Lagi Berita