Mungkir Janji, Zalim: Kerajaan Pas Terengganu 2003 Kena Bayar Saman RM1 Bilion

KUALA TERENGGANU 9 Dis. – Akibat kecuaian dan mungkir janji kerajaan Terengganu pimpinan Pas pada tahun 2003, kerajaan negeri perlu membayar tuntutan saman RM1 bilion kepada sebuah syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn. Bhd. (Riyapadu).

Keputusan yang memihak kepada syarikat berkenaan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Pengarah Riyapadu, Ally Azwin Datuk Abdul Hamid berkata, keputusan penghakiman berkenaan telah membuktikan ‘kezaliman’ yang dilakukan kerajaan Terengganu pimpinan Pas pada tahun 2003.

“Alhamdulillah Allah telah berikan keadilan pada hari ini, kami bersyukur,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Ally Azwin, berdasarkan penghakiman itu, pihaknya yakin berjaya memperoleh bayaran RM1 bilion seperti mana yang dituntut berhubung kecuaian dan mungkir janji kerajaan negeri ketika itu berkaitan konsesi pembalakan di Empangan Kedua Hulu Terengganu.

Ally Azwain berkata, mahkamah dalam keputusannya memerintahkan defendan (kerajaan Terengganu) mengembalikan wang RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plaintif (Riyapadu) pada 2003 bagi bayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16,587 hektar.

Katanya, mahkamah juga memerintahkan bayaran faedah RM7.55 juta pada kadar faedah empat peratus setahun manakala baki deposit bagi bayaran lesen dan cukai balak pula sebanyak RM166,432.86 yang dibayar kepada plaintif.

“Hakim juga putuskan plaintif berhak dapat bayaran keuntungan hasil kawasan balak seluas 1,200 ekar (486 hektar) yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan konsesi yang diserahkan kepada Riyapadu,” katanya.

Pada Disember 2007 lalu, Riyapadu memfailkan saman RM1 bilion terhadap kerajaan negeri berikutan tindakan menamatkan perjanjian konsesi balak dengan syarikat itu.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini selepas syarikat tersebut mendakwa perjanjian konsesi mengambil hasil hutan pada 2003 itu ditamatkan secara tidak sah.

Ia membabitkan perjanjian antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri untuk mengambil hasil hutan di kawasan kira-kira seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Ally Azwin berkata, keputusan mahkamah tersebut juga mendedahkan kecuaian kerajaan Pas Terengganu ketika itu yang bertindak menamatkan kontrak selain menarik balik lesen sesudah perjanjian dibuat.

“Kerajaan Pas ketika itu bukan saja mungkir janji malah telah melakukan pembohongan dan penyelewengan fakta terhadap sebuah syarikat bumiputera,’’ katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semasa diminta mengulas keputusan mahkamah itu berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan rayuan memandangkan mereka perlu bertanggungjawab melunaskan tuntutan tersebut.

Lagi Berita