BN Sedia Bantu Atasi Masalah India Muslim

PUTRAJAYA, 13 Dis – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia membantu mengatasi masalah dihadapi masyarakat India Muslim di negara ini khususnya dalam bidang perniagaan dan pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata kerajaan sedar masih banyak rakyat, tidak kira golongan majoriti atau minoriti, yang masih memerlukan bantuan bagi meningkatkan lagi taraf hidup masing-masing.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) mengemukakan satu pelan terperinci mengenai masalah yang dihadapi kaum India Muslim supaya langkah sewajarnya dapat diambil untuk menanganinya.

“Kerajaan BN sentiasa berusaha untuk membantu rakyat, tidak kira masyarakat Bumiputera atau bukan Bumiputera dan ini bermakna ahli KIMMA serta kaum India Muslim layak menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan KIMMA Kali Ke-34, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden KIMMA, Datuk Syed Ibrahim Kader.

Pada majlis sama, KIMMA menyerahkan 15 usul yang diluluskan dalam persidangan semalam, antara lain memohon supaya seorang ahli KIMMA dilantik Ahli Dewan Negara, pelantikan ahli KIMMA sebagai Ahli Majlis di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), mengekalkan kadar levi bagi pekerja asing dalam sektor perkhidmatan dan menaikkan kadar simpanan tunai pengurup wang berlesen daripada RM250,000 kepada RM2.5 juta.

Selain itu, persidangan terbabit turut meluluskan usul penubuhan sayap Putera dan Puteri KIMMA, mensasarkan penambahan ahli baru KIMMA sebanyak 140,000 orang menjelang Disember 2011 dan mendaftar sekurang-kurangnya 200,000 pengundi baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Sementara itu, Syed Ibrahim, dalam ucapannya, mahu segala keistimewaan yang dinikmati golongan Bumiputera turut diberikan kepada kaum India Muslim khususnya dalam bidang pendidikan seperti melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Lagi Berita