Jangan Fikir Siapa Jadi Calon – Shafie Apdal

JANDA BAIK 13 Dis –“Tidak perlu fikir siapa yang bakal jadi calon (pilihan raya), yang penting ialah memastikan Barisan Nasional (BN) mempertahankan Putrajaya dan menawan kembali negeri yang dikuasai pembangkang.

“Jika kita asyik memikirkan perkara itu, banyak perkara yang tidak boleh kita lakukan, perjuangan kita bukan untuk individu, perjuangan kita adalah untuk semua, kita harus bekerjasama,” kata Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika majlis penutup Kursus Informasi jalinan Rakyat Wanita UMNO Malaysia di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU), Janda Baik, Pahang.

Menurutnya, pada Konvensyen BN baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN ketika berucap di Konvesyen BN baru-baru ini telah mengingatkan kepada semua parti komponen bahawa kriteria untuk menjadi calon pilihan raya hendaklah mereka yang disenangi  dan disukai rakyat bukannya disenangi sesuatu pihak sahaja.

“Bagi memastikan kita berjaya pada pilihan raya akan datang, kita perlu bekerja keras, buktikan segala tuduhan pembangkang itu tidak benar dan jangan biarkan rakyat terpedaya dengan tipu helah pembangkang.

“Kita perlu keluar dari perlu zon selesa, kita perlu sedar bahawa kita telah kehilangan 5 negeri pada pilihan raya lalu, sebab itu kita perlu bangkit dan tidak lagi boleh berpeluk tubuh, jangan hanya berharap kepada orang tertentu sahaja, kita perlu bekerja bersama-sama, bekerja sebagai satu pasukan,” katanya kepada kira-kira 500 peserta yang menghadiri kursus selama 3 hari itu.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memuji komitmen yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO kepada parti dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diberi terutama ketika pilihan raya kecil diadakan.

“Saya puji dengan sikap petugas Wanita UMNO pada setiap kali pilihan raya kecil, mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi, semangat seperti ini harus dipertahankan, dan saya yakin jika semangat seperti ini dikekalkan BN pasti mampu merampas negeri yang dikuasai pembangkang pada PRU (pilihan raya umum) ke 13 nanti.

“Pujian ini bukan menunjukkan mereka yang lain tidak buat kerja, tetapi pujian saya tujukan khususnya kepada petugas Wanita UMNO terutama kepada mereka yang sanggup meninggalkan keluarga untuk memnbantu BN pada setiap pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, antara tugas penting yang perlu dilakukan sekarang ialah memastikan supaya semua ahli UMNO yang  berkelayakan mendaftar sebagai pengundi kerana masih ramai lagi di kalangan mereka yang tidak mendaftar. -MediaUMNO

Lagi Berita