Pemfitnah Felda Petualang, Pengkhianat Bangsa

PUTRAJAYA, 13 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggelarkan golongan yang melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap Felda sebagai pengkhianat dan petualang bangsa.

Ini kerana kata Perdana Menteri, perbuatan mereka itu mencemarkan sebuah institusi yang begitu besar jasa dan budinya kepada masyarakat peneroka.

Justeru, beliau menyeru lebih dua juta warga Felda termasuk generasi kedua dan ketiganya di seluruh negara agar turut bangkit mempertahankan Putrajaya yang diterajui oleh kerajaan sekarang bagi menjamin kelangsungan perjuangan membangunkan tanah rancangan itu.

Tegas Perdana Menteri, tanggunggjawab itu perlu dipikul bersama oleh masyarakat Felda kerana selama ini, kerajaan berjaya membangunkan institusi tersebut sehingga manfaatnya dinikmati golongan peneroka dan anak cucu mereka pada hari ini.

”Felda adalah satu institusi yang perlu dipertahankan, daripada diserang oleh sesiapa pun yang berniat buruk yang tidak ada hati perut dan sayang kepada institusi yang banyak berjaya dan berbudi kepada rakyat Malaysia.

”Hati perut mereka sanggup melakukan satu perbuatan mencemar dan menghina institusi Felda, jadi kita semua anak Felda wajib semua sekali wajib mempertahankan kerajaan yang ada di Putrajaya.

”Sebab itu kita itu buat program di Putrajaya, sebab hendak ingatkan bahawa kita (masyarakat Felda) ada tanggungjawab mempertahankan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010 di Medan Pancarona di sini, Ahad.

Perdana Menteri berkata, petualang dan pengkhianat bangsa itu sebelum ini membuat pembohongan besar tentang 16 September 2008 apabila mendakwa akan mengambil alih Kerajaan Pusat namun perkara itu akhirnya menjadi cerita rekaan dan dongeng semata-mata.

Katanya, golongan yang sama juga membuat pembohongan kedua dengan melemparkan tuduhan bahawa Felda akan bankrap dan mengkhianati institusi yang telah berjaya merubah landskap sosio ekonomi negara.

”Saya sudah tengok akaun Felda, saya hendak beritahu, kalau semua saham milik Felda yang disenaraikan dibursa itu dicairkan maka pendapatannya boleh mencecah RM4.3 bilion.

”Siapa kata Felda bankrap, mana ada satu badan yang wang tunainya begitu banyak, pengurusan Felda tidak beri saya sebut tetapi banyak dan selamat dalam simpanan.

”Jadi orang yang dakwa Felda bankrap sekarang sudah ketar lutut dan hari ini mereka tidak berani lagi berkokok, kalau berkokok lagi kita saman,” katanya.

Najib yang juga anak kepada pengasas Felda, Allahyarham Tun Abdul Razak menjelaskan, perjuangan Felda selama 50 tahun penubuhannya sudah membuahkan hasil apabila semua 317 buah tanah rancangan Felda kini diiktiraf sebagai masyarakat contoh bagi luar bandar.

”Satu lagi cabang dalam lima teras utama Felda, kita bangun dan perkasakan generasi kedua dan ketiga Felda, Alhamdulillah berkat usaha yang dilakukan oleh Felda kita dapat membela untung nasib generasi kedua, contohnya kejayaan skim latihan membuah hasil dan manfaat sangat besar,” katanya.

Kata Perdana Menteri, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM210 juta bagi menjalankan skim latihan dan lanjutan pendidikan dengan peruntukan tahunan sebanyak RM50 juta dan ia berjaya memberikan manfaatkan kepada 33,000 anak Felda.

”36 orang daripada kumpulan pertama akan tamat latihan dalam bidang penyenggaraan pesawat pada tahun depan dan akan menjadi jurutera lesen menyenggara pesawat yang diiktiraf.

”Saya tanya kepada pegawai Malaysia Airlines System (MAS), anak-anak Felda yang lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas tamat dan lulus diploma dan jika diterima bekerja mereka mampu mendapat pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan, cuba bayangkan apakah ini bukan satu transformasi besar,” katanya.

Sambil memetik kata-kata ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai pengasas Felda bahawa ”Felda adalah tanah yang baik untuk orang yang baik’, Najib berkata, tanah rancangan berjaya dibuka kerana golongan peneroka yang mempunyai daya juang dan ia menjadi kejayaan di peringkat global membabitkan usaha memerangi kemiskinan.

Justeru katanya, beliau menyusuli jejak langkah bapanya itu dalam fasa pembangunan kedua dengan berusaha ‘membuka’ minda generasi kedua dan ketiga Felda supaya dapat menjadi pemain dalam arus perdana pembangunan negara.

Malah beliau yakin, melalui usaha yang dilakukan sekarang, warga Felda dapat mencapai tahap masyarakat berpendapatan tinggi lebih awal daripada sasaran tahun 2020.

”Projek-projek yang dilakukan di Felda seperti biomas dan bekalan elektrik dapat juga dinikmati oleh kampung-kampung di sekeliling tanah rancangan, ini bererti kejayaan Felda adalah kejayaan seluruh negara sebab itu ia institusi kebanggaan kita,” katanya.

Lagi Berita