Pas Parti Dominan : Harun Taib Patut Rujuk Minta Izin DAP & PKR Dulu

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sewajarnya merujuk kepada sekutunya, DAP dan PKR terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung peranan parti terbabit sekiranya diizinkan Allah menerajui negara pada masa akan datang.

Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, langkah berkenaan adalah penting agar segala tutur katanya tidak memakan diri sendiri selain menjaga maruah parti itu yang kini menjadi tumpuan umum.

Menurut beliau memasang angan-angan bukanlah satu kesalahan tetapi apa yang diidamkan oleh Ketua Dewan Ulama Pas itu menimbulkan pelbagai persoalan kepada umum kerana hari ini Pas hanya layak dianggap “budak suruhan” DAP dan PKR sahaja.

“Apakah asas yang digunapakai oleh Harun Taib yang begitu yakin parti itu akan menjadi dominan selaku tulang belakang jika pakatan pembangkang dapat memerintah negara kelak.

“Ini kerana di negeri yang dikuasai mereka, Pas hanya jadi ‘‘keldai” dan tidak diberikan peranan yang besar. Jika di peringkat negeri pun mereka tidak mampu untuk bersuara apatah lagi di peringkat persekutuan,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dilaporkan berkata pihaknya yakin mereka akan menjadi tulang belakang dan akan berperanan sebagaimana UMNO dalam Barisan Nasional dalam mengemudikan kerajaan jika mereka dapat menguasai Putrajaya kelak.

Beliau berkata, Pas akan tetap menjadi kuasa penentu kepada pembentukan kerajaan dalam corak yang diingini.

Ustaz Mohd Noor seterusnya melahirkan keyakinan kenyataan Ketua Ulama Pas itu mungkin akan berubah dalam masa terdekat.

“Mungkin pada waktu ini pemimpin DAP seperti Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Karpal Singh serta Anwar sendiri tidak “berdehem” lagi. Selepas “berdehem” nanti saya percaya, Harun Taib akan perbetulkan kenyataannya,” kata beliau.

Pada masa yang sama beliau turut menyifatkan Pas menghayati politik munafik Abdulah bin Ubai.

“Abdullah ini pada zaman Rasulullah telah mengaku sembahyang mengikut Rasulullah s.a.w tetapi pada masa yang sama beliau telah bergabung dengan Musyrikin Mekah dan beberapa orang Yahudi sehingga terbentuknya Ahzab (gabungan) yang kemudiannya mengepung Madinah untuk menjatuhkan kepimpinan Rasulullah s.a.w.

“Maka tercetuslah perang Khandak atau peperangan Ahzab pada waktu itu. Inilah yang terjadi pada Pas hari ini yang cuba meruntuhkan sebuah kerajaan Islam dengan bergabung bersama DAP dan PKR. Nauzubillah,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita