Program Jejak Prihatin Bantu Golongan Sasaran Ringankan Beban

SEPANG, 14 Dis – Sempena musim persekolahan yang akan bermula beberapa minggu lagi UMNO Bahagian Sepang mengambil inisiatif untuk memberikan sumbangan berupa beg dan peralatan sekolah kepada kanak-kanak di beberapa buah sekolah tadika dan pra sekolah yang terpilih di kawasan tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Seri Ir. Mohamad Zin Mohamed berkata sumbangan tersebut adalah satu galakan kepada kanak-kanak berkenaan apabila melangkah ke alam persekolahan nanti.

“Ini merupakan salah satu dorongan untuk mereka mula belajar di alam persekolahan yang sebenar. Walaupun pemberian ini tidak seberapa, tetapi ianya mampu menyuntik semangat di hati kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata sumbangan yang diberikan itu juga adalah program lazim yang dilaksanakan bahagian itu pada penghujung tahun.

Pada masa yang sama tambah beliau lagi pihaknya juga turut mengadakan program Jejak Prihatin bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Mereka yang menerima bantuan ini adalah golongan yang telah dikenalpasti ketua kampung masing-masing yang difikirkan layak untuk menerima bantuan berupa bantuan makanan dan juga wang tunai.

“Program Jejak Prihatin ini adalah program penutup untuk tahun ini. Program ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan masalah golongan sasaran ini,” ujarnya.

Program Jejak Prihatin ini juga kata beliau lagi turut menjelajah beberapa kawasan bagi mengenalpasti beberapa rumah yang mana penghuninya disahkan mengidap penyakit kronik.

“Melalui program seperti ini kita dapat melihat sendiri masalah penduduk di kawasan ini selain dapat menyelami dan merasai penderitaan mereka.

“Ini akan memudahkan kita merancang bentuk bantuan yang boleh kita salurkan agar dapat meringankan beban yang mereka tanggung. Kita tidak mahu mereka rasa terpinggir dan tidak dibantu,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita