Rahsia Liwat Di Tangan Asing, Anwar Tidak Layak Pimpin Negara

KUALA LUMPUR,  14 Dis. – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata pendedahan laman web WikiLeaks berhubung kebenaran kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diakui oleh pegawai perisikan Singapura dan Australia membayangkan Ketua Pembangkang itu tidak layak memimpin negara.

Tegas beliau, seandainya Anwar menjadi Perdana Menteri, rahsia mengenai hubungan sulitnya itu boleh digunakan negara asing untuk pelbagai kelebihan dalam rundingan.

“Jika Anwar menjadi Perdana Menteri, kita akan memiliki pemimpin yang rahsia peribadinya berada dalam genggaman negara asing.

“Keadaan sedemikian boleh meletakkan hubungan dua hala negara dalam bahaya, sekali gus mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,“ katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan WikiLeaks mengenai kebenaran aktiviti liwat Anwar berdasarkan bukti agensi perisikan Singapura yang dipercayai memintas talian komunikasi negara.

Menurut WikiLeaks, dalam laporan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, pegawai-pegawai perisikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat sebagaimana pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekarang.

Tegas Khairy lagi, pendedahan WikiLeaks itu merupakan satu perkara berat buat Anwar kerana ia berdasarkan maklumat risikan luar.

“Sekiranya laporan itu benar, Anwar tidak layak untuk menjadi pemimpin negara kerana maklumat tersebut boleh digunakan oleh ajen asing untuk melemahkan kepimpinan Malaysia.

“Ia bukan soal moral semata-mata tetapi kedudukannya Anwar sebagai pemimpin pembangkang. Rakyat tidak boleh terima pemimpin yang maklumat kesilapannya berada dalam maklumat kerajaan asing,” tegasnya.

Lagi Berita