PKR Kena Sumpahan Rakyat, Bala Makin Datang Bertimpa-timpa

PETALING JAYA, 16 Dis –  Mungkin sumpahan rakyat… Malang dan bala datang bertimpa-timpa ke atas Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain kes liwat terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus berbau hanyir, kemelut dalam parti itu seperti tiada kesudahannya.

Setelah lima ahli parlimen dan lima ahli dewan undangan negeri keluar parti selain ribuan ahli yang turut angkat kaki, dijangka PKR akan menerima bala lagi apabila dikatakan sekurang-kurangnya lima lagi ahli Parlimen mereka akan keluar parti.

Bala terbaru ini semakin bertiup kencang di mana dijangkakan sekurang-kurangnya lima ahli parlimen mereka akan menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang baru diterajui oleh Datuk Mohd Zaid Ibrahim.

Khabarnya mereka dijangka berbuat demikian menjelang 19 Januari ini iaitu tarikh penjenamaan semula parti berkenaan.

Kita yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) difahamkan turut bersedia membentuk pakatan atau kerjasama dengan satu parti baru yang akan ditubuhkan di Sabah tidak lama lagi.

Walaupun Zaid mengumumkan parti Kita tidak akan menyertai Pakatan Rakyat, ia dikatakan bersedia untuk menyertai pakatan dengan parti-parti yang menawarkan pilihan alternatif kepada rakyat.

Bagai menambah lagi bala yang makin bertimpa-timpa di Penampang pula bekas naib presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengumumkan pembentukan satu pergerakan dikenali Barisan Bersatu Borneo (UBF) sebagai satu platform untuk memperjuangkan hak dan keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak.

Katanya agenda UBF termasuk mendapatkan kesamarataan dalam formula perkongsian dan perwakilan di peringkat persekutuan.

Ini sekaligus memberi penangan kepada PKR yang sebelum ini memasang angan-angan melangit mahu menguasai Sabah yang kononnya PKR adalah parti yang boleh memperjuangkan nasib rakyat negeri itu.

Kalau orang kuat PKR di Sabah sendiri sudah angkat kaki apakah rakyat Sabah begitu bodoh untuk mempercayai  apa yang PKR janji dan cita-citakan.

Lagi Berita