ADUN Tenang Selamat Dikebumi

LABIS, 17 Dis – Jenazah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang Allahyarham Datuk Sulaiman Taha selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Paya Merah, di sini, hari ini.

Sulaiman, 59, yang dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur sejak 25 Nov lepas akibat kencing manis, meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi hospital berkenaan pada pukul 1.10 pagi ini selepas mengalami jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

Jenazah Allahyarham yang dibawa menggunakan van jenazah Pusat Khidmat Masyarakat Adun Kemelah tiba di kediaman keluarganya di Jalan Melati, Labis Park, di sini pada pukul 8 pagi sebelum disembahyangkan.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Jamek Labis untuk disembahyangkan kali kedua dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Paya Merah, di sini, pada pukul 12 tengah hari.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Seri Noraini Yaakop, enam anak perempuan iaitu Marsila, Marliza, Marina, Miza Liyana Taha, Miza Qamarina dan Miza Husna dan seorang anak lelaki iaitu Aiman Azri Taha,

Antara kenamaan yang dilihat menziarahi jenazah Allahyarham ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Mohd Ali Hassan, Anggota Parlimen Labis Chua Tee Yong dan Adun Kemelah Ayub Rahmat.

Sulaiman dipilih Adun Tenang pada pilihan raya 2004 dan mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun 2008 selepas memperoleh 6,367 undi menewaskan calon Pas Md Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Beliau menewaskan Md Saim dengan majoriti 5,517 undi pada PRU 2004.

Beliau adalah Ketua Bahagian UMNO Labis sejak 2001, pernah menjadi Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Johor (1994-1997) dan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia (1987-1993).

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 14,511 pengundi; 49.66 peratus Melayu, 38.13 peratus Cina, 12.11 peratus India dan kaum-kaum lain 0.10 peratus.

Sementara itu, Seri Noraini, 34, ketika ditemui berkata suaminya merupakan seorang yang penyayang dan sentiasa membantu masyarakat di kawasan berkenaan ketika hayatnya.

Beliau berkata kesemua anak-anak berada di sisi ketika Allahyarham meninggal dunia di hospital.

Anak sulung Allahyarham, Marsila, turut mengakui Allahyarham bapanya adalah seorang yang penyayang walaupun sentiasa dilihat tegas.

“Arwah bijak memanfaatkan masa yang ada ketika bersama kami walaupun sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai wakil rakyat. Beliau sangat suka makan dan berkebun,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita