Satu Kehilangan Besar Buat Melayu, Negara – Haslinda

Labis, 17 Dis – “Kami merasakan satu kehilangan yang besar, pemergian Allahyarham Datuk Sulaiman Taha cukup memberikan kesan kepada Pergerakan Wanita UMNO Labis kerana beliau merupakan seorang ketua yang tegas, namun sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada kami dalam mewarnai perjuangan UMNO di bahagian Labis ini khususnya dan umat Melayu,” ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh.

“Allahyarham memang seorang yang tegas, namun kami senang bekerjasama dengannya sebagai Ketua UMNO bahagian dan ADUN Tenang selama ini. Beliau telah menjalankan tugasnya sebagai Ketua UMNO Bahagian dan ADUN Tenang dengan baik dan sempurna, beliau seorang tokoh yang sukar untuk dicari ganti,” ujarnya kepada UMNO-Online sebentar tadi.

Tambahnya, UMNO dan Barisan Nasional kehilangan seorang pemimpin yang sangat memahami perjuangan parti dan kehendak rakyat.

“Ia satu kehilangan besar buat UMNO kerana beliau seorang pemimpin yang gigih dan komited kepada perjuangan parti malah beliau juga sangat dekat dengan rakyat,” tambahnya.

Allahyarham Datuk Sulaiman Taha telah selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Kampung Paya Merah, Labis.

Allahyarham meninggalkan isteri, Seri Noraini Yaakop, 6 anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Sulaiman dipilih ADUN Tenang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan mengekalkan kerusi itu pada PRU yang lepas. Pada PRU 2008, Allahyarham memperolehi 6,367 undi dengan majoriti 2,492 undi bagi menewaskan calon Pas, Md Saim Siran (3,875). Beliau menewaskan Md Saim dengan majoriti 5,517 undi pada PRU 2004.

Beliau adalah Ketua Bahagian UMNO Labis sejak 2001, pernah menjadi Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor (1994-1997) dan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia (1987-1993). Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga adalah Leftenan Kehormat Angkatan Relawan (Rela) sejak 2006. – MediaUMNO

Lagi Berita