Najib Meriahkan Hari Kedua JOM Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa kira-kira hampir sejam memeriahkan program Jelajah One Malaysia  (JOM) Pemuda Barisan Nasional (BN) yang masuk hari kedua  di Terengganu

Bergerak daripada Stadium Tertutup Gong Badak dengan menaiki bas khas JOM, beliau diiringi Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin serta kepimpinan Pemuda BN yang lain meluangkan masa meninjau rumah yang dibaik pulih menerusi Program JOM di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Pemilik rumah berkenaan, Esah Mohamed dari Kampung Hiliran Binjai Chabang 3, ternyata teruja dan terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri yang sanggup turun padang menerusi program berkenaan meninjau sendiri rumahnya yang telah dibaik pulih itu.

Datuk Seri Najib turut berkesempatan mengecat dinding rumah mak cik Esah dan bertanya khabar mengenai kesihatan warga emas berkenaan yang merupakan seorang  ibu tunggal.

Mak Cik Esah kini boleh menarik nafas lega apabila rumahnya yang dibelenggu dengan pelbagai masalah seperti lantai rosak,  atap bocor serta dinding bermasalah serta lain-lain kerosakan di baik pulih sepenuhnya.

Bagi Esah, kesudian Najib berkunjung dan membantu kerja-kerja membaiki rumahnya yang uzur di bawah program Jelajah One Malaysia (JOM) mencermin keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat.

“Terima kasih banyak kepada Perdana Menteri dan kerajaan sebab sudi baiki rumah makcik. Rasa gembira dapat jumpa (Perdana Menteri), sebelum ini tengok ditelevisyen sahaja,” katanya.

Esah yang mempunyai lima orang anak dan lebih 30 cucu menetap di Kampung Chabang Tiga sejak hampir 70 tahun lalu dan dia adalah antara penduduk terawal kawasan itu.

Sejurus itu, Datuk Seri Najib dan Khairy turut mengadakan “walkabout” di pasar malam Chabang Tiga dan beramah mesra dengan pengunjung serta peniaga di pasar malam berkenaan.

Orang ramai yang mengunjungi pasar malam tersebut mengambil peluang untuk bersalaman dan mereka rata-rata bangga dengan sikap keprihatinan pemimpin nombor satu negara serta kepimpinan Pemuda BN  yang sanggup turun padang  bertemu mata dengan rakyat.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Penolong Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid, Ketua Pemuda MIC, T.Mohan dan kepimpinan BN yang lain.

Perdana Menteri sebelum itu merasmikan Kelab Motor Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak  yang dihadiri kira-kira 32,000 belia daripada seluruh Terengganu.

Lagi Berita