Ahli Parlimen Pembangkang Tidak Layak di Panggil Yang Berhormat – Abu Zahar

KUALA LUMPUR  20 Dis –  Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyifatkan ahli parlimen pembangkang yang membuat kecoh ketika persidangan Dewan Rakyat Khamis  lalu tidak layak untuk dipanggil Yang Berhormat.

Menurutnya, setiap ahli parlimen sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara telah membuat pengakuan untuk mematuhi setiap peraturan serta mempertahankan Perlembagaan Negara ketika mereka mengangkat sumpah.

“Ahli parlimen pembangkang yang membuat kecoh itu tidak layak dipanggil sebagai Yang Berhormat, kekecohan yang dilakukan itu tidak mengambarkan mereka sebagai seorang ahli parlimen, orang seperti inikah yang hendak kita panggil sebagai Yang Berhormat, mereka tidak layak untuk dipanggil sebagai Yang Berhormat.

“Sepatutnya tunjukkan contoh yang baik, mereka ini dipilih oleh rakyat, seharusnya menyuarakan masalah rakyat bukannya membuat kecoh di dalam Dewan Rakyat, mereka sepatutnya mematuhi peraturan ditetapkan seperti yang diakui ketika mengangkat sumpah untuk menajdi ahli parlimen dahulu,” katanya di majlis pelancaran buku Islam dan Persoalan Rasuah yang ditulis oleh Senator Ezam Mohd Nor dan Sapto Waluyo.

Persidangan Dewan Rakyat Khamis lalu meluluskan usul pengantungan selama enam bulan terhadap Anwar Ibrahim serta tiga lagi ahli Parlimen,  Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) dari menghadiri persidangan berikuta isu firma perunding antarabangsa Apco Worldwide.

Ketika perbahasan usul pergantungan itu, persidangan Dewan Rakyat menjadi kecoh dan huru-hara berikutan cubaan ahli parlimen pembangkang menganggu perbahasan dengan tujuan untuk menangguhkan persidangan itu bagi membolehkan usul berkenaan tidak dibahas dan tiada keputusan dibuat.

Tindakan yang dilakukan oleh ahli pembangkang itu mendapat kecaman kerana tindakan mereka yang membawa demonstrasi jalanan ke parlimen dengan membawa poster serta menjerit-jerit ketika perbahasan sedang dijalankan.

Abu Zahar menyifatkan ahli parlimen pembangkang sebagai tidak bertamadun dan cuba menggunakan parlimen untuk kepentingan politik mereka.

“Ahli parlimen pembangkang telah menyalah guna kemulian Dewan Rakyat dengan menjadikannya sebagai medan politik mereka, kita disini adalah untuk membuat serta melulusakan sesuatu dasar untuk kepentingan rakyat,” katanya.  -MediaUMNO

Lagi Berita