Anwar Henti Jual Temberang, Segera Buktikan 1Malaysia Ilham ‘One Israel’

KUALA LUMPUR 20 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bukti berhubung dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia diilhamkan oleh Apco Worldwide, syarikat perunding Amerika Syarikat yang dituduhnya di belakang kempen One Israel.

Tegasnya cabaran itu dibuat berdasarkan tindakan Anwar sebelum ini yang sering kali mengugut kononnya mempunyai maklumat rahsia tetapi tiada apa yang didedahkan.

”Apa yang hanya terdedah setakat ini hanyalah maklumat mengenai tindakan ‘pelik’ Penasihat PKR itu oleh WikiLeaks. Itu pun beliau tuduh polis bersekongkol dengan agensi perisikan negara berdaulat seperti Singapura dan Australia.

“Semua perkara mahu salahkan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan. Pembakaran gereja, isu kepala babi dan kepala lembu… Sampaikan kerusi dan meja terbang dalam pemilihan PKR pun salahkan BN. Semua itu tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Mesra Rakyat Menteri Dalam Negeri bersama warga Ampang di Kawasan Perindustrian Hata, Pandan Mewah di sini, Ahad.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Anwar baru-baru ini digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana menuduh gagasan 1Malaysia ditiru daripada ‘One Israel’.

Dalam siri jelajah dilakukannya di beberapa kawasan baru-baru ini, beliau mendakwa akan terus mendedahkan bukti-bukti mengenai perkara itu dan kerjasama kerajaan dengan APCO.

Hishammuddin yang juta Menteri Dalam Negeri seterusnya menambah, ugutan seperti itu bukan kali pertama dilakukan Anwar.

“Kalau dulu, Anwar kata mempunyai banyak kotak maklumat rahsia untuk didedahkan tetapi sampai hari ini tiada satu pun didedahkannya.

“Saya percaya, kalau beliau betul ada bukti, sudah lama beliau akan dedahkan apa yang tidak betul,” ujarnya.

Lagi Berita