Guan Eng Bacul, DAP Cuba Tutup Agenda Jadi Alat Politik Negara Asing

KUALA LUMPUR 20 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempersoal taraf kerakyatan pihak yang mempertahankan orang Melayu serta pihak tidak sependapat dengannya.

Sambil menyifatkan kenyataan tersebut bertujuan untuk menutup hakikat sebenar, iaitu parti itu merupakan alat politik kepada negara asing, beliau menegaskan persoalan mengenai taraf kerakyatan itu sepatutnya dilemparkan kepada Guan Eng dan DAP sendiri kerana parti itu menterjemah agenda negara asing di sebalik amalan demokrasi di Malaysia.

Beliau turut menuduh Guan Eng dan DAP sebagai bacul kerana cuba menyembunyi niat sebenar dengan menyalahkan pihak lain.

Tegas beliau lagi golongan cauvinis ini tidak akan dapat mengubah hakikat sejarah bahawa institusi dan parti politik Melayu bertanggungjawab secara langsung membangunkan negara ini.

“Guan Eng yang sepatutnya menyoal diri sendiri adakah DAP sebuah organisasi politik yang mewakili rakyat Malaysia sejati atau mereka bertindak menterjemah agenda negara asing, mahu pun menjadi alat kepada negara asing dengan berselindung di sebalik demokrasi.

“Cuba menutup niat sebenar dengan menyalahkan pihak lain adalah bacul. Sedangkan, DAP yang bertindak menanam kebencian masyarakat Cina kepada seluruh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang menyifatkan pendokong dan peminat Utusan Malaysia sebagai bukan rakyat Malaysia yang sebenar kerana dakwanya, akhbar berkenaan menggunakan fahaman ekstremis.

Selain itu, Guan Eng juga melabelkan BN bukan rakyat Malaysia yang sebenar kerana dakwanya, parti itu hanya tahu memperalatkan 3R, iaitu Race (bangsa), Religion (agama) dan Raja serta turut mempertikai kerakyatan mana-mana pihak yang meraikan tragedi 13 Mei.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa BN tidak pernah memperalatkan bangsa, agama serta raja sebaliknya parti itu mempertahankan tiga elemen tersebut yang menjadi asas utama kepada pembentukan negara bangsa Malaysia daripada dimusnah pihak tidak bertanggungjawab seperti DAP.

Lagi Berita