Isu APCO : Anwar Putar Belit, Kata Ada Bukti Tapi Tak Pernah Kemukakan

KUALA LUMPUR, 20 Dis –  “Dia (Anwar Ibrahim) cakap dia ada bukti dokumen mengenai dakwaannya, dan kami minta dia buktikan, tapi dia tidak pernah kemukakan bukti,” demikian penjelasan Anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, Datuk Razali Ibrahim

Jelas beliau lagi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen telah beri ruang yang luas kepada beliau Anwar namun malangnya Anwar tidak mengambil peluang tersebut sebaliknya membuat pelbagai dalih.

Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia seterusnya mendedahkan Anwar telah diberikan tempoh dua hari semasa sesi persidangan Dewan Rakyat minggu lepas untuk membela diri tetapi tidak mengambil peluang itu dan bertindak seolah-olah mahu melengah-lengah keputusan mengenai kes itu.

Pada 16 Dis lalu Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar kepada Dewan kerana mengaitkan konsep 1Malaysia dengan One Israel.

Keputusan untuk menggantung Anwar seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen itu, diluluskan oleh Dewan Rakyat tanpa sebarang perbahasan, dan ini telah mencetuskan kekecohan dalam Dewan apabila kesemua anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar.

Razali berkata Anwar sepatutnya mengambil peluang itu dengan mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya itu kerana beliau memang mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Katanya APCO Worldwide telah menghantar sepucuk surat kepada jawatankuasa itu bagi menafikan penglibatan syarikat itu dalam membantu kerajaan Malaysia membuat dasar, sebaliknya ia bertindak  membantu meningkatkan perkhidmatan berkaitan komunikasi.

Selain Razali, jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin mulia, turut dianggotai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) dan Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) yang dipertanggungjawab untuk membincangkan isu dakwaan Anwar itu.

Lagi Berita