Karenah, Tekanan Pentadbiran Pembangkang Tidak Pudarkan Semangat BN Bantu Rakyat

SHAH ALAM, 20 Dis – Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berharap pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini terutama di kawasan Kota Raja bersabar dan tidak berputus asa berdepan karenah kerajaan negeri pakatan pembangkang dalam memberi khidmat kepada masyarakat.

Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai masalah dan tekanan dari kerajaan pakatan pembangkang, beliau yakin rakyat di negeri ini akan dapat menilai parti mana yang sebenarnya membela rakyat.

“Masyarakat dapat melihat dan menilai. Biar masyarat melihat hasil kerja kita berbakti untuk mereka. Bersabarlah, hasilnya pasti dapat kita lihat semasa PRU 13 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Juara Rakyat ‘Karnival Sihat’ anjuran Wanita Barisan Nasional di sini, Ahad.

Sambil melahirkan rasa gembira melihat kerjasama di antara komponen di Kota Raja, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan seterusnya menyifatkan perkara tersebut sebagai contoh terbaik untuk dicontohi bahagian lain bagi penghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Inilah contoh terbaik bagi melaksanakan gerak kerja menghadapi PRU 13 akan datang. Saya berharap semangat ini akan terus kekal menjadi pegangan kepimpiman BN yang ada di sini,” ujar.

Ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang bakal diadakan, beliau berkata, pucuk pimpinan Puteri UMNO telahpun mengadakan mesyuarat bagi mengatur gerak kerja yang bakal diadakan.

“Di Johor, kita mempunyai 26 Bahagian Puteri. Sudah tentulah gerakkerja kali ini akan lebih melibatkan semua Puteri UMNO di sana.

“Kita amat yakin, pendekatan terus kepada pengundi yang di bawa oleh Puteri selama ini adalah yang terbaik dan ini jugalah pendekatan yang akan dilakukan di sana kelak”, ujarnya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur baru-baru ini. -MediaUMNO

Lagi Berita