JOM Pemuda BN Bantu Rakyat Di Akar Umbi-Ali Rustam

Melaka, 21 Dis – Ketua Menteri Melaka, Datuk  Seri Mohd Ali Rustam melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah atas komitmen Pemuda Barisan Nasional (BN) yang turun ke akar umbi menerusi program Jelajah One Malaysia (JOM).

Menurut beliau program tersebut yang diketuai Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin merupakan satu langkah yang tepat untuk membantu kerajaan dalam agenda pembelaan terhadap rakyat.

“Tahniah kepada Pemuda BN yang turun ke akar umbi dan  bermesra dengan penduduk kampung dan bandar terutama yang memerlukan banyak lagi perhatian daripada parti kita. Apa pun kita berharap bantuan  baik pulih rumah daripada 5 buah rumah untuk satu Parlimen ditingkatkan.

“Program ini amat baik dan tidak sama dengan kerja parti pembangkang yang hanya asyik mengata  orang. Saya berharap kerja amal sebegini  mendapat sokongan daripada semua pihak dan golongan miskin dapat manfaat yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah One Malaysia (JOM) Peringkat negeri Melaka, di Kg Semabok Dalam, Kota Melaka di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan beliau bersama Khairy meluangkan masa membantu menyiapkan rumah Zamri  Thamby  Dollah yang sedang dibaik pulih menerusi program JOM.

Hari ini program JOM yang masuk hari kelima singgah di Melaka setelah singgah di beberapa negeri yang lain. Bermula di Terengganu, rombongan JOM kemudiannya berkhidmat di Pahang dan kelmarin di negeri Johor. Negeri Sembilan merupakan destinasi terakhir program JOM.

Sementara  itu, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata pogram JOM adalah terjemahan kepada BN yang mengutamakan rakyat dan tidak sepertimana parti pembangkang.

“Menerusi program seumpama ini ianya membuktikan BN  tidak retorik berbanding parti lawan yang hanya banyak memfitnah dan menuduh dengan pelbagai perkara yang tidak masuk akal tetapi kerja amal untuk bantu rakyat tidak dibuat.

“Jadi  kita buktikan hari ini dan Pemuda BN turun ke padang dan bantu rakyat secara terus dan membawa perubahan kepada rakyat sekaligus menterjemahkan kepada konsep  1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Lagi Berita