Pemuda BN Harap Calon Tenang Mesra Orang Muda, Berwibawa

KOTA MELAKA, 21 Dis – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy  Jamaluddin berharap calon yang akan diketangahkan Barisan Nasional (BN) nanti untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang  adalah mereka yang mesra orang muda dan berwibawa.

“Calon itu tidak semestinya orang muda tetapi mesra kepada orang muda dan yang senang dengan setiap lapisan masyarakat serta seorang yang dikenali pemimpin masyarakat berwibawa,” katanya.

Sambil menyatakan kesediaan jentera Pemuda bagi berdepan pilihanraya kecil kawasan tersebut, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut berkata akan membawa  konsep program Jelajah One Malaysia (JOM) dalam kempen yang bakal dilaksanakan nanti.

Menurutnya apa yang berbeza adalah olahan kepada pelaksanaan program yang akan tertumpu kepada program kemasyarakatan dalam usaha mendekati akar umbi sepertimana yang telah dilaksanakan hari ini.

“Pemuda BN akan bawa konsep JOM ke DUN Tenang nanti  tetapi ianya  lebih kepada program kemasyarakatan.  Hampir 1,000 jentera Pemuda BN sepenuh masa akan berada di sana dalam usaha melicinkan gerak kerja kita nanti.

“Kita percaya pembangkang akan buat macam-macam tetapi kita akan tumpukan kepada rakyat kerana kita utamakan rakyat. Berbanding parti pembangkang, mereka  mendahulukan kepentingan mereka serta  dahagakan kuasa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran JOM peringkat negeri Melaka, di Kg Semabok Dalam, Kota Melaka, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta kerajaan mengambil perhatian serius terhadap kemalangan bas yang berlaku sejak kebelakangan ini sepertimana tragedi  semalam yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameroon Highlands.

“Kita ucapkan takziah kepada mangsa kemalangan terbabit. Ini adalah satu tragedi dan semakin menjadi-jadi kemalangan bas terutamanya di lebuhraya.  Jadi perlu kita lihat secara lebih serius dan pad amasa yang sama  kita kena mengaku ada masalah besar hari ini dari segi keselamatan jalan raya yang melibatkan kemalangan bas.

“Harap kementerian yang terlibat betul-betul  lihat kepada satunya jalan raya itu selamat atau pun tidak dan yang keduanya pengendalian perkhidmatan bas ekspres terbabit dan bas pelancongan kerana kita tidak mahu keadaan di mana bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga perkara ini boleh memburukkan imej Malaysia di mata pelnacong negara,” katanya.

Beliau seterusnya berharap agar kerajaan melakukan siasatan dan kalau benar bahawa punca kemalangan adalah jalan Simpang  Pulai tersebut maka kerajaan perlu lihat untuk buat “alighmet” baru supaya jalan tersebeut tidak terlalu curam dan selekohnya tidak terlalu tajam.

“Tambahan  pula kalau ada pemandu yang tidak ada pengalaman dan letih, itu adalah kombinasi kepada faktor yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita