Allahyarham Tun Ibrahim Pejuang Patriot Sejati – Najib

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen (B) Tun Ibrahim Ismail yang meninggal dunia hari ini merupakan seorang perajurit terbilang dan patriot sejati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Allahyarham Tun Ibrahim merupakan seorang perajurit terbilang, seorang patriot sejati yang telah meninggalkan budi dan jasa yang sangat besar untuk nusa dan bangsa,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas selesai upacara pengebumian di Makam Pahlawan di sini, berkata apa yang telah diperjuangkan oleh allahyarham akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara.

“Terutamanya detik mencabar waktu kita menentang ancaman komunis dan selepas tragedi 13 Mei di mana allahyarham memainkan peranan yang amat besar dalam mententeramkan negara,” katanya.

Najib berkata jasa allahyarham Ibrahim sekali gus telah menaikkan imej angkatan tentera sebagai institusi yang mana rakyat boleh bergantung harap untuk membangunkan dan mengekalkan keharmonian negara.

Allahyarham Ibrahim, 88, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini pukul 4.40 pagi ini kerana sakit tua.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata allahyarham Ibrahim dikenali kerana kecekapannya menjaga negara sewaktu Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan.

Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Azizan Ariffin berkata pemergianallahyarham ke Rahmatullah merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pemergian allahyarham ini umpama satu tamparan kepada ATM kerana banyak berjasa kepada pemodenan ATM.

“Bagi pihak warga ATM, kami mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan berharap mereka banyakkan bersabar,” katanya.

Isteri allahyarham Toh Puan Zakiah Ahmad, 78, berkata antara pesanan akhir allahyarham adalah supaya anggota keluarga tidak bersedih atas pemergiannya.

“Arwah ingatkan supaya jangan bersedih kerana setiap orang akan ‘pergi’ juga… arwah juga ingatkan supaya jangan rasa diri kita susah kerana ada orang lain yang lebih susah dari kita,” kata beliau yang mempunyai 13 cucu dan 4 cicit.

Lagi Berita