Pemimpin Selangor Amal ‘State Liability Style’ – Pensyarah Undang-undang

KUALA LUMPUR, 23 Dis. – Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK),  Profesor Datuk Abdul Halim Sidek menyelar tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang mengeluarkan arahan melarang penggunaan logo 1Malaysia pada kain rentang dan papan iklan di negeri ini.

1malaysiaKatanya, tindakan kepimpinan negeri mengeluarkan arahan tersebut membuktikan mereka mengamalkan ‘state liability style’ dalam pentadbirannya dan gagal memberikan pilihan terbaik kepada rakyat untuk menyelami aspirasi mereka.

“Mereka (pemimpin Selangor) salah tafsir terhadap konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran keghairahan mereka untuk mengekalkan kuasa kerana takut pangkat dan kedudukan yang mereka ada hilang,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Dilaporkan bahawa Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Abdul Razak Jaafar memberitahu arahan tersebut telah dikeluarkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Selangor setelah diluluskan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri dan dikuatkuasa baru-baru ini.

Berikutan itu, MDKL telah mengarahkan sebuah premis serbaneka 24 jam menanggalkan logo 1Malaysia pada papan tanda perniagaannya di kawasan terbabit yang kemudiannya mengundang tindakan sekumpulan orang ramai yang mengadakan perhimpunan aman sebagai bantahan.

“Perdana Menteri ketika melancarkan Gagasan 1Malaysia tidak menyebut berkaitan politik atau wujudnya diskriminasi antara mana-mana parti atau negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya ia dilakukan dengan tujuan yang baik iaitu untuk mewujudkan perpaduan lebih erat dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

“Falsafah ini terpakai kepada seluruh rakyat Malaysia agar kesejahteraan dan persefahaman yang mencerminkan keamanan antara masyarakat di negara kita ini dapat terus dikekalkan,” katanya.

Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan bahawa arahan tersebut sebagai bukti ketidakbijaksaan para pemimpinnya sehinggakan sanggup menggunakan cara licik sedemikian.

“Kelicikan mereka terserlah dengan cara menggunakan kekuatan dan kuasa yang ada untuk mengeluarkan arahan sendiri yang tidak menyenangkan orang ramai khususnya penduduk di Negeri Selangor.

“Persoalannya, apa akan jadi dengan rakyat tempatan kerana ternyata bahawa siapa yang tidak patuh dan memaparkan logo tersebut akan diambil tindakan. Realitinya bukan semua rakyat di Negeri Selangor memberikan sokongan kepada pakatan mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku di Kuala Langat menjadi bukti bahawa arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin mereka boleh mengundang rasa gelisah, marah dan seterusnya boleh mengundang rasa tidak selamat apabila ada perhimpunan-perhimpunan untuk membantahnya.

“Pemimpin Selangor takut dengan bayang-bayang sendiri sehinggakan sanggup menafikan konsep 1Malaysia sedangkan sebenarnya mereka dapat melihat bagaimana gagasan Perdana Menteri ini diterima dengan baik oleh seluruh rakyat Malaysia termasuklah individu-individu yang menyokong pembangkang.

“Inilah cara pembangkang yang berusaha untuk menggagalkan langkah kerajaan Pusat membawa kesepaduan kepada seluruh rakyat. Jika mereka berfikir secara matang maka mereka akan menerima perkara yang baik dan menyerahkan kepada rakyat membuat penilaian berkaitan usaha-usaha kerajaan Pusat dan juga apa yang mereka lakukan untuk masyarakat.”

Bidas beliau lagi, tindakan dangkal kerajaan Selangor mengeluarkan arahan sedemikian sebenarnya menunjukkan kebodohan mereka sendiri kerana sewajarnya usaha murni kerajaan untuk semua rakyat mendapat sokongan.

“Apabila kerajaan Pusat buat benda elok, dikritik dan kuasa digunakan untuk mengagalkannya sedangkan apabila kerajaan tadbiran pembangkang ditimpa musibah mereka minta bantuan dari Pusat.

“Tengok macam mana Kedah yang dilanda banjir tetapi kerajaan pembangkang gagal tangani dengan baik, di Pulau Pinang juga Ketua Menterinya telah akui tidak dapat bantu golongan miskin jika tidak dengan bantuan dari Pusat malahan Kelantan yang telah 20 tahun di tangan Pas juga masih harapkan bantuan dari Pusat untuk pembangunan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

Lagi Berita