Tambah Ahli Bukan Sekadar Tambah Angka Baru Tapi Tambah Pemimpin Pelapis

PENAMBANG, 23 Dis – Ketua Puteri UMNO Sabah, Hajah Musliati Moslimin menegaskan penambahan keahlian bukan sekadar untuk menambah angka baru tetapi menambah pemimpin pelapis muda untuk parti.

Tegasnya pemimpin pelapis cukup penting bagi memastikan kesinambungan parti agar terus relevan sepanjang masa.

“Program penambahan keahlian tidak boleh dipandang remeh kerana kita tidak boleh terlepas pandang walau seorang.

“Kita berharap dengan pelbagai kempen yang dibuat, semakin ramai golongan muda mendaftar sebagai ahli Puteri,” katanya selepas merasmikan Program Jom Masuk Kampung anjuran Puteri UMNO Penambang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Puteri UMNO Sipitang, Dayang Maimunah Sidek, Ketua Puteri UMNO Kota Marudu, Redonah Bahanda dan  Ketua Puteri UMNO Kudat, Normala Rascik.

Jelas beliau lagi golongan wanita muda harus diberi pendedahan dengan mengikuti dan menyertai pelbagai program yang diatur pergerakan itu

Selain mensasarkan penambahan keahlian, beliau turut menegaskan setiap pemimpin Puteri harus mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya sering menekankan, kita perlu kembali kepada politik fundamental untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti pemerintah kerajaan Barisan Nasional (BN). Amalkan konsep turun padang,” katanya.

Tambah beliau, Puteri di peringkat bahagian harus mengikut contoh pemimpin terdahulu yang sanggup turun padang bertemu rakyat sehingga ke kawasan pendalaman.

“Sebagai sayap bongsu, Puteri harus bekerja keras mendekati dan mengajak rakyat memahami perjuangan BN”, ujarnya.

Mengulas mengenai Program Jom Masuk Kampung, beliau berkata seramai 22 orang warga emas dan ibu tunggal sekitar Kampung Kandazon telah menerima bantuan sempena perayaan Krismas berupa hamper dan wang tunai. -MediaUMNO

Lagi Berita