Bekas ADUN Semenyih Bebas Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM, 24 Dis – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor hari ini dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000 dan cuba memperoleh rasuah RM170,000 daripada seorang kontraktor, tiga tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas bekas Adun itu, yang kini seorang ahli perniagaan.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Ahamad Kuris, 53, didakwa cuba memperoleh suapan sebanyak RM170,000 daripada pemilik syarikat Ufuk Rafa Sdn Bhd, Azlan Ahmad Marshid di pejabat syarikat itu di No: 10B, Tingkat 1, Jalan Mesra Niaga, Batu 13, Jalan Cheras, Kajang dekat sini, kira-kira pukul 11.53 pagi pada 26 Feb 2007.

Wang itu adalah sebagai dorongan untuk membantu syarikat Ufuk Rafa mendapatkan tender bagi pembinaan jalan keluar-masuk 30 meter di Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Ahamad Kuris yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kajang (semasa kejadian) didakwa menerima rasuah RM20,000 dan RM5,000 daripada Azlan sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Pejabat UMNO Bahagian Hulu Langat, Tingkat 2, Bangunan UMNO, Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada pukul 12.30 tengah hari, 11 Mei 2007 dan 17 Ogos 2007.

Bagi tuduhan keempat, Ahamad Kuris didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada individu sama dalam membuat bayaran kad kreditnya dengan tujuan sama, di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, pada 27 Feb 2007.

Untuk kesemua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahamad Kuris juga menghadapi tiga pertuduhan alternatif bagi tuduhan kedua, ketiga dan keempat iaitu dengan curang menyalahgunakan wang milik UMNO Bahagian Hulu Langat untuk kegunaan sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah hadir bagi pihak pendakwaan sementara Ahamad Kuris diwakili peguam Akbardin Abdul Kadir.

Dalam penghakimannya, Ahmad Sazali berkata isu mengenai wang suapan itu hanya timbul selepas Azlan berjaya memperoleh tender dan perbincangan (mengenai wang) tidak pernah wujud sebelum Azlan memperoleh tender itu.

“Apa yang ada, saksi ke-19 pendakwaan (Azlan) telah maklumkan kepada tertuduh bahawa dia ada masuk tender dan jawapan tertuduh tidak menunjukkan yang ada usaha daripada tertuduh untuk bantu saksi ke-19 pendakwaan dapatkan tender.

“Isu dorongan tidak berjaya dibuktikan dan sebaliknya pihak pendakwaan cakap ia adalah sebagai upah. Saya dapati tidak ada keterangan yang jelas bahawa ia satu upah yang ada kaitan dengan projek jalan itu secara khususnya,” katanya.

Mengenai pertuduhan alternatif, Ahmad Sazali berkata tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa Ahamad Kuris telah menggunakan wang milik UMNO Bahagian

Hulu Langat untuk kegunaan sendiri dan tiada bukti menunjukkan bahawa wang itu digunakan atau ditukar untuk kegunaan bekas Adun itu sendiri.

“Sehubungan itu saya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kesemua pertuduhan dan saya putuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Sejurus Ahmad Sazali membacakan keputusannya, Ahamad Kuris yang berdiri di kandang tertuduh mengangkat tangan tanda kesyukuran dan isteri serta anak-anaknya yang berada di galeri awam dilihat berpelukan dan menangis kegembiraan.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Ahamad Kuris memanjatkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.

“Alhamdulillah… saya tahu saya tidak bersalah,” katanya sambil tersenyum.

Lagi Berita